Perjuangan Hak Wanita di Mahkamah Syariah

Artikel ini merupakan tulisan yang pernah diterbitkan di akhbar Utusan Malaysia, dan diambil dari sumber arkib  bertarikh 06/11/2000 di sini.

PENTADBIRAN undang-undang syariah di Malaysia berada dalam tumpuan akhir-akhir ini, khususnya apabila timbul beberapa isu hangat yang melibatkan hak-hak wanita.

Selari dengan hal ini, perjuangan memartabatkan kedudukan wanita sebagai pemangkin kemajuan negara menjadi semakin matang dengan wujudnya isu-isu sebegini dan beberapa isu lain. Namun begitu, perspektif terhadap kredibiliti institusi Mahkamah Syariah menjadi agak negatif akhir-akhir ini apabila berlakunya jumlah kes-kes yang tertangguh, ditambah pula dengan kewujudan rasa tidak puas hati di kalangan mereka yang mengharapkan keadilan cepat dan tegas daripada institusi ini.

Dalam konteks perjuangan hak-hak wanita, ramai pihak berada di persimpangan kerana harapan yang terlalu tinggi pada Mahkamah Syariah jauh daripada kemampuan sebenar institusi ini untuk melaksanakan pentadbiran undang-undang syariah secara lebih berkesan.

Sesetengah pihak berpendapat bahawa kegusaran ini tidak akan dapat dikendur sekiranya ruang lingkup profesionalisme tidak diberi perhatian dalam melaksanakan pentadbiran syariah yang cekap dan berkesan. Sesetengah pihak yang lain melihat aspek kesungguhan politik (political will) sebagai faktor penentu dalam membantu menyelesaikan isu perjuangan wanita ini.

Apabila faktor profesionalisme disentuh, maka kita perlu melakukan muhasabah terhadap pendekatan pendidikan pengamal undang-undang syariah yang menjadi jentera penggerak institusi ini. Sementara kita meyakini bahawa proses peningkatan status Mahkamah Syariah sedang mendapat perhatian yang sepatutnya daripada pihak kerajaan, sumber tenaga yang dilahirkan untuk mengisi ruang pentadbiran undang-undang syariah tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya seperti keadaannya dengan pentadbiran Mahkamah Sivil. Mereka yang terlibat berurusan dengan pentadbiran Mahkamah Syariah kurang terdedah pada latihan-latihan profesionalisme untuk meningkatkan pengetahuan dan kecekapan pentadbiran undang-undang.

Justeru, timbul isu ketidakcekapan dalam melaksanakan pentadbiran undang-undang yang dipenuhi dengan proses dan prosedur yang rumit. Ini merupakan suatu bentuk pembaziran sumber manusia kerana mereka pada hakikatnya mempunyai kekuatan ilmu dan teori syariah yang berkualiti tinggi.

Apabila timbul permasalahan sebegini, maka ruang untuk golongan wanita mendapatkan khidmat nasihat perundangan syariah yang cekap dan berkesan akan terhalang. Ini menjelaskan mengapa beberapa kes yang menyebabkan ramai wanita tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya di Mahkamah Syariah.

Mereka kurang mengetahui hak-hak yang diperuntukkan undang-undang syariah yang dapat menjamin keadilan untuk mereka tercapai. Ini boleh menyentuh pada peranan yang dapat dimainkan Mahkamah Syariah sebagai institusi yang juga mendidik masyarakat, khususnya wanita tentang hak-hak mereka dari sudut syariah. Selain itu, usaha yang agresif boleh diadakan bagi Biro-biro Bantuan Guaman Syariah mendidik masyarakat tentang hak dan ruang yang dijamin undang-undang syariah dalam menangani isu-isu perundangan Islam semasa. Biro-biro ini boleh berperanan memberi penerangan dan mewakili yang berkelayakan mendapatkan pembelaan yang lebih adil dan cepat dari sudut syariah.

Kelemahan yang wujud tentang aspek profesionalisme pentadbiran undang-undang syariah ini mencetuskan salah faham tentang nasib hak asasi wanita di Malaysia. Hal ini melanjutkan kekeruhan yang sedia wujud tentang kedudukan wanita dalam proses pembangunan negara. Sementara polemik ini sebahagiannya dipengaruhi oleh kekeliruan mengenai pendapat politik, wujud kebenaran bahawa pentadbiran undang-undang syariah yang cekap akan memberikan ruang kepada wanita untuk memainkan peranan yang lebih positif dalam arus pembangunan negara.

Kesungguhan politik juga perlu wujud dalam meletakkan Mahkamah Syariah sebagai institusi yang disegani dan tidak dipersoalkan kewibawaannya. Faktor kesungguhan politik perlu ada bagi memberi respons terhadap apa jua kritikan dan sungutan daripada pihak-pihak yang memperjuangkan hak-hak wanita.

Sementara diakui bahawa Mahkamah Syariah akan menjadi lebih cekap apabila mampu menangani apa-apa persoalan dan kemusykilan yang timbul berkenaan hak wanita, usaha yang tersusun dan disokong oleh kesungguhan politik akan memperbaiki kredibiliti Mahkamah Syariah dan seterusnya menjernihkan salah faham terhadap kekeliruan yang timbul berkenaan dengan isu ini. Mahkamah Syariah, seperti juga sistem pentadbiran Mahkamah Sivil, perlu diberi kedudukan yang lebih baik agar masyarakat tidak memandangnya sebagai institusi kelas kedua. Prejudis terhadap Mahkamah Syariah menjadi lebih nyata apabila proses melaksanakan peruntukan enakmen tidak mendapat sokongan yang sewajarnya daripada pihak yang berkaitan. Kes-kes pelaksanaan peruntukan enakmen pentadbiran syariah yang disaluti kontroversi menjadi isu yang terlalu disensasikan kerana tidak ada pelaksanaan yang cekap dan disokong dengan tegas oleh pihak-pihak yang berwajib.

Imej Mahkamah Syariah dikaitkan dengan ketidakcekapan sebegini, walhal terdapat banyak lagi faktor dan pihak yang terlibat yang perlu diambil kira dalam melaksanakan sesuatu peruntukan enakmen tersebut.

Mahkamah Syariah sebagai institusi yang memayungi pelaksanaan peruntukan enakmen undang-undang Syariah akan terkena tempias kontroversi sebegini. Berbeza dengan peranan Mahkamah Sivil yang lebih digeruni apabila dikaitkan dengan pelaksanaan undang-undang, Mahkamah Syariah kadangkala tersepit di antara kelembapan pelaksanaan peruntukan undang-undang yang ada dan pendekatan yang digunakan untuk melaksanakan peruntukan undang-undang tersebut.

Ini sering kali menjadi modal untuk mengkritik sikap Mahkamah Syariah terhadap hak wanita yang terlibat dalam sesuatu kontroversi pelaksanaan peruntukan enakmen undang-undang syariah. Dalam menyelesaikan isu ini, pihak kerajaan sebagai pentadbir yang baik harus menyeragamkan apa jua bentuk perlaksanaan enakmen undang-undang di peringkat Jabatan-jabatan Agama Islam Negeri, agar kedudukan Mahkamah Syariah tidak disinonimkan dengan faktor ketidakcekapan pelaksanaan peruntukan enakmen undang-undang syariah di Malaysia.

Pada hakikatnya, peranan Mahkamah Syariah sebagai institusi yang boleh menjadi tempat rujukan masyarakat masih punya kekuatan yang dapat dimanfaatkan dan diperbaiki.

Perjuangan hak wanita di Mahkamah Syariah akan menjadi lebih berkesan apabila kegusaran yang wujud tentang kecekapan pentadbiran institusi ini dapat dijernihkan dengan usaha yang bersepadu daripada semua pihak yang terlibat. Sebenarnya, ruang untuk memperbaiki kredibiliti institusi ini lebih luas daripada ruang untuk sekadar mengkritik ketidakcekapannya, sebagaimana juga ruang untuk memperbaiki usaha memperjuangkan hak wanita boleh diperbaiki untuk tidak sekadar menjadi perjuangan yang dicemari sentimen diskriminasi gender.

Penganjuran Munaqasyah Isu Kontemporari diadakan pada Sabtu lalu dilihat sebagai salah satu rantai usaha untuk mewujudkan ciri-ciri yang lebih professional pada Mahkamah Syariah.

Sebagai forum yang menggabungkan pakar dan pengamal undang-undang syariah, munaqasyah ini memberikan ruang kepada mereka yang prihatin dengan perjuangan hak wanita di Mahkamah Syariah untuk bersama-sama mencari jalan terbaik meningkatkan profesionalisme yang sedia ada di Mahkamah Syariah dan menjernihkan salah faham di kalangan mereka yang terlibat dalam perjuangan memartabatkan hak-hak wanita.

AZRIL MOHD. AMIN, lulusan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), kini Perunding di Akademi Aidit.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s