ärˈtikyələt

│Azril Mohd Amin's personal views

Kenyataan Media PEMBELA 29 Ogos 2012 bersamaan 11 Syawal 1433

1. PEMBELA mengulangi penegasan bahawa pertubuhan-pertubuhan Islam yang diwakilinya tidak berminat dengan persaingan mendapatkan sokongan melalui politik kepartian. PEMBELA juga tidak terpengaruh dengan sebarang sikap dan tindakan partisan para pemimpin Negara, sama ada di pihak kerajaan ataupun di pihak pembangkang yang ghairah memperjuangkan dasar dan manifesto masing-masing, khususnya di dalam mengemudi kehangatan bahang Pilihanraya Umum ke-13.

2. Tetapi, PEMBELA tidak akan berdiam diri mahupun berkompromi apabila persoalan kedaulatan Islam disentuh dan dijadikan modal percakaran di kalangan parti-parti politik.

3. Umat Islam menjadi semakin gusar, khususnya apabila saban hari menyaksikan kebiadaban para pemimpin politik yang secara terang-terangan menghina Islam bukan sahaja disebabkan kejahilan mereka, tetapi provokasi yang disengajakan untuk mendapat publisiti murahan dan meraih keuntungan politik yang bersifat sementara.

4. PEMBELA bertegas bahawa sikap dan tindakan sebegini adalah sangat tidak bertanggungjawab, kerana melanggar keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Negara melalui Perkara 3 (1). Kenyataan-kenyataan yang biadab sebegini harus segera dihentikan dan ditarik semula.

5. Kedua-dua Yang Berhormat Karpal Singh a/l Ram Singh, selaku Pengerusi DAP dan Yang Berhormat Donald Lim Siang Chai, selaku Pengerusi MCA Negeri Selangor merangkap Timbalan Menteri Kewangan I, serta lain-lain pemimpin politik di setiap lapisan, wajib menghentikan kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab mengenai Islam di Negara ini.

6. YB Karpal Singh bersungguh-sungguh memperjuangkan konsep Negara sekular dan ini menggambarkan kejahilan beliau yang melampau tentang peranan Islam yang telah membina masyarakat Islam yang baik di Negara ini hatta sejak sebelum Perlembagaan Persekutuan hadir di dalam sejarah penubuhan Negara. Prinsip-prinsip ideal dan sumbangan Islam dalam membina individu Muslim yang baik telah menyumbang kearah pembinaan masyarakat Malaysia yang mantap, sejahtera dan harmoni. Mengapa YB Karpal Singh beria-ia memperjuangkan konsep Negara sekular, yang jelas rapuh, bermasalah dan telah terbukti menghancurkan tamadun lain di dunia, khususnya Negara-negara barat?

7. Kenyataan YB Donald Lim yang ingin menghalang sebuah Negara Islam pula bersifat pramatang, menghasut serta mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab di dalam menjaga sensitiviti terhadap umat Islam yang menjalankan kehidupan beragama mengikut lunas dan ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan. Khususnya bagi seseorang yang berstatus menteri kabinet Kerajaan Persekutuan, kenyataan tersebut menggambarkan kejahilan beliau tentang kedudukan Islam sebagai agama Negara, hakikat perlindungan terhadap agama-agama lain dan sumpah Yang DiPertuan Agong bagi memelihara dan mempertahankan kemuliaan Islam yang jelas termaktub pada perkara 37(1), Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.

8. Adalah sangat malang bahawa YB Karpal Singh dan YB Donald Lim, mahupun mana-mana pihak yang sealiran dengan mereka membiarkan pemikiran dipengaruhi unsur-unsur stereotaip dan label media-massa musuh-musuh Islam di dalam membuat kenyataan-kenyataan mengenai Islam, yang jelas tidak berwibawa dan berprasangka jahat terhadap Islam. Malah, ramai di kalangan pemimpin Muslim sendiri tidak membantu menjernihkan kekeliruan ini, tetapi sebaliknya menambah-kusut kecelaruan mereka disebabkan sikap prasangka buruk, hasad dengki dan taasub kepartian mahupun individu, lantas membuat kenyataan-kenyataan yang mengesahkan kejahilan mereka tentang kedudukan Islam di Malaysia.

9. PEMBELA menegaskan kepada para pemimpin politik khususnya, bahawa sebarang pendekatan yang boleh memprejudis kedaulatan agama Islam sebagai agama Negara boleh menghakis prinsip “Kesetiaan kepada Raja Negara” dan prinsip “Keluhuran Perlembagaan” yang menghilangkan kelayakan untuk menyertai proses pemerintahan Negara.

Justeru dalam menangani masalah yang timbul dari sikap sebegini, PEMBELA dengan ini:

i. Bersepakat dengan pertubuhan-pertubuhan Islam untuk membuat aduan polis terhadap kedua-dua YB Karpal Singh dan YB Donald Lim, serta mendesak pihak berkuasa melakukan penyiasatan kenyataan-kenyataan mereka di bawah Akta Hasutan 1948 dan peruntukan undang-undang yang relevan, serta mengambil tindakan-tindakan yang perlu mengikut saluran sedia wujud;

ii. Menyeru agar semua pertubuhan-pertubuhan Islam di Negara ini menyertai PEMBELA dan rakan-rakan pertubuhan Islam lain di dalam menzahirkan kegusaran dan bantahan terhadap sikap tidak bertanggungjawab para pemimpin politik Muslim dan non-Muslim, tidak kira di pihak kerajaan mahupun pembangkang, yang membuat kenyataan-kenyataan jahat dan tidak adil mengenai Islam di Malaysia;

iii. Memohon persefahaman dan kerjasama utuh dengan Majlis-majlis Agama Islam Negeri dalam usaha melaksanakan hasil percambahan fikiran strategik dari masa ke semasa, demi mengurangkan pergeseran di kalangan umat Islam dan mendepani salah faham tanggapan terhadap kedudukan Islam di Negara ini di kalangan Muslim dan non-Muslim;

iv. Menyeru umat Islam terus mengekalkan iktibar dan didikan bulan Ramadhan yang baru sahaja berlalu, di dalam bermunajat kepada Allah SWT supaya diberikan taufiq dan hidayahNya untuk mengukuhkan kesatuan hati dan menghadapi mehnah kecelaruan pemikiran di kalangan masyarakat yang menyebabkan Islam terus-menerus diserang dan diganggu-gugat anasir-anasir daripada kalangan non-Muslim dan Muslim sendiri.

PEMBELA ingin menegaskan bahawa seruan dan tindakan kami hendaklah dilihat sebagai usaha mengekalkan keharmonian beragama di kalangan masyarakat Malaysia. Dengan menyanggah kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab para pemimpin politik, PEMBELA sebenarnya mengembalikan citra dan keizzahan jati diri Islam sebagai agama Negara, yang telah dimomokkan dan diganggu-gugat persaingan politik partisan yang tidak bertanggungjawab.

Sambutan dan iktibar ulang tahun kemerdekaan ke 55 tanahair ini tidak akan bermakna sekiranya kekuatan Islam yang diibaratkan Mahkamah Tinggi sebagai “pohon jati”, dan tidak dipersoalkan sehingga ke Mahkamah Persekutuan, tetapi diremehkan dan diberikan kedudukan yang tidak adil di sisi Perlembagaan Persekutuan yang disanjung seluruh warganegara Malaysia.

Pertubuhan-pertubuhan yang bernaung di bawah PEMBELA – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Pertubuhan Jalur Tiga (JATI), Pertubuhan Profesional Muslim dan Ukuwwah Ummah (PROMUSLIM), Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Institut Kajian Islam dan Strategik (ISSI), Persatuan Ulama Malaysia -Pulau Pinang, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Institut Pemikiran Tradisional Islam (IPTI), Persekutuan Seruan Islam (Jam’iyah) Selangor dan Wilayah Persekutuan, Persatuan Kebajikan Aman Pattani Malaysia (AMANI), Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL), Pertubuhan Menangani Gejala Sosial (UNGGAS).

Advertisements

2 comments on “Kenyataan Media PEMBELA 29 Ogos 2012 bersamaan 11 Syawal 1433

  1. mansaldamha
    August 30, 2012

    Assalamualaikum Sdr Azril,

    Saya telah baca Utusan Malaysia dan laman sesawang Sinar Harian hari ini.

    Saya agak kecewa sedikit terhadap Utusan yang tidak cuba memetik beberapa kenyataan dari press release yang kita kemukan, tetapi lebih menumpukan kepada Laporan Polis, berbanding dengan Sinar Harian.

    Saya kira penemuan dengan Ketua-ketua Editor media yang kita cadangkan itu hendaklah dilakukan secepat mungkin, dan meminta Sdr Karim menyediakan surat-surat undangan kepada mereka yang berkaitan secepat mungkin.

    “Perang” terhadap anasir-anasir perosak persepsi negatif terhadap Islam hendaklah dilancarkan segera, kerana ia adalah merupakan satu peperangan psikologi atau psy-war, bertujuan untuk mengatakan sesuatu yang tidak benar sehingga ia menjadi “benar” dari segi persepsinya.

    Banyak yang telah ditulis mengenai peranan persepsi memesung dan mengelirukan pandangan orang ramai terhadap sesuatu isu negara. Saya ada beberapa buah buku mengenai pendapat umum dan persepsi ini, dari perspektif media massa. Dan banyak kajian telah dilakukan mengenainya.

    Justru kita hendaklah mempercepatkan kajian mengenai pemesungan persepsi atau tanggapan umum ini menerusi rakan kita ISSI, selepas saja kita telah berdaftar.

    “Peperangan” yang kita hadapi adalah peperangan minda, bagaimana hendak memanipulasi minda manusia, menrusi pembohongan, pemesungan minda (decepttions), mengadu-dumba, mengkecamuk, mengeliru, menipu, dan sebagainya sebagai senjata memenangi hati dan minda manusia…. Inilah yang sering menjadi kegemaran pembacaan saya… A psychology of human deceptions…. menerusi apa yang dikenal sebagai satu bentuk penjajahan mental.

    Satu yang jelas, musuh-mush kita tidak akan ambil pot apa yang kita kata atau buat. Mereka akan terus melaksanakan agenda mereka… kecuali aada sesuatu otoriti yang mereka respect/hormati atau terpaksa hormati, seperti raja-raja atau sultan-sultan kita. Walaupun mereka tidak sebenarnya hormati institusi raja ini, tetapi mereka akan “terpaksa” dari segi psikologinya menerima teguran dan pandangan-pandangan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja kita, mungkin kerana “kedaulatan” mereka. .

    Senjata inilah yang disarankan oleh Datuk Aidid digunakan sebagai the “last resort” sekiranya diperlukan… or else… Hal seperti inilah juga yang telah berlaku ketika hendak menuntut kemerdekaan dulu. Kalau raja dan sultan-sultan kita tidak bersetuju, dan menerima pandangan rakyat, yang dipelopori oleh Allahyarham Tunku semasa belayar menuju ke London (mereka berhenti sebentar di India/Sri Langka (kalau tidak silap sya), membuat keputusan mutahkhir sama ada hendak merdeka atau tidak.

    British tidak akan menerima tuntutan kemerdekaan kita kalau raja-raja tidak sokong, kita tidak terima, dan sepakat dengan bangsa-bangsa lain, khususnya China dan India, sebagai warga negara ini. Dikatakan setelah raja-raja terima nasihat dari para penasihat mereka yang ikut serta rombongan menuntut kemerdekaan, (maka itulah mereka berhenti sebentar di negeri tersebut, untuk “hammer” dan mendapatkan restu dan persetujuan duli-duli baginda raja-raja, barulah mereka brangkat ke England) yang telah memutuskan Persekutuan Tanah Melayu (mind you nama negara ketika itu ialah PERSEKUTUAN TANAH MELAYU, yang bermaksud secara tegas dan khusus bahawa negara ini negara kepunyaan orang-orang Melayu, bukannya MALAYSIA seperti sekarang).

    Itulah sehjarah kita. Tapi orang sekarang, khususnya pihak-pihak yang mementingkan kuasa dan kedudukan dalam politik, tidak akan ambil pot, tidak kisah, tidak peduli apa yang akan berlaku kepada negara ini, asalkan mereka dapat apa yang mereka izinkan. Inilah gejala-gejala negatif yang kita anuti dan dituntut oleh ramai manusia yang menganggap negara ini berpaksikan fahaman sekular yang mementingkan apa yang aku boleh dapat, bukan apa yang aku boleh beri – yang memerlukan pengorbanan sejati dari para pemainnya – yang mahu dijadikan paksi kehidupan harian kita hari ini. Keluhuran budi dan kegentelmanan umat dan penganut Islam hendak diketepikan mereka, demi kerakusan hidup keduniaan. Hasilnya ramai manusia yang hidup dalam dunia kepura-puraan. Wallahu’alam.

    Uncle M

    ________________________________

  2. aiditghazali@akademiaidit.com
    August 31, 2012

    Assalamu’alaikum,
    Apa yg dinyatakan oleh Uncle M sgt benar, lebih2 lagi Uncle M bercakap dari pengalaman, selain dari ilmiah. Saya cadangkan antara kita para aktivis diadakan bengkel satu hari utk faham tentang maudu’ Psychology of human perceptions and related issues supaya kita sendiri faham musuh ibarat kabus ini. Hanya bila kita faham dg jitu, baru kita boleh bertindak dgn lebih berefikasi.

    Aidit
    Sent from my BlackBerry wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Information

This entry was posted on August 29, 2012 by .

Hours & Info

+603-8861-7707
Lunch: 1pm - 2pm
Dinner: M-Th 5pm - 11pm

Top Clicks

  • None

Blog Stats

  • 135,214 hits
August 2012
F S S M T W T
« Jul   Sep »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31  

Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 610 other followers

Follow me on Twitter @azrilmohdamin

%d bloggers like this: