Forum Islam dan Cabaran Semasa 20 Januari 2013

Dalam usaha memberikan penjelasan berterusan tentang keprihatinan dan pendirian tegas mempertahankan kesucian kalimah Allah, gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGI) yang bersepakat di atas nama PEMBELA, akan menganjurkan Forum Islam dan Cabaran Semasa dengan mengangkat tajuk “Polemik Isu Kalimah Allah” pada hari Ahad 20 Januari 2013, bermula jam 8.30 pagi, bersamaan 8 Rabiul Awal 1434 bertempat di Auditorium Utama, Kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.

Panel forum tersebut bakal dibarisi beberapa tokoh-tokoh masyarakat Islam yang berwibawa dan yang telah bersepakat dan istiqamah di dalam membuat penegasan tentang isu yang kontroversi ini. Diantara tokoh-tokoh yang telah diundang untuk meyumbangkan buah fikiran ialah Ust. Dr. Abdul Aziz Hanafi, Ust. Haji Ismail Mina Ahmad (Presiden MUAFAKAT), Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A. Harris (CASIS, UTM), Tuan Hj. Mohd Naser Disa (Biro Undang-undang MAIWP) dan beberapa tokoh akademik. Di akhir Forum, pihak PEMBELA berhasrat membentangkan cadangan Memorandum untuk dikemukakan kepada Majlis Raja-raja serta melancarkan petisyen tandatangan umat Islam yang hadir.  

Di kala ramai di kalangan pemimpin parti-parti politik, terutamanya yang beragama Islam merubah-rubah pendirian masing-masing mengikut selera kepentingan kepartaian serta kedangkalan ilmu mereka, para pemimpin NGI yang akan hadir nanti adalah di kalangan mereka yang tetap bertegas untuk mempertahankan hak yang melibatkan keutuhan aqidah umat Islam. Hak ini bukanlah semata-mata isu merebut penggunaan kalimah yang suci, tetapi lebih dari itu merupakan usaha berterusan merungkai agenda jahat musuh Islam menghakis kesucian Islam dengan mempertikaikan kedudukannya sebagai agama yang diiktiraf di sisi Allah SWT. Dalam konteks Malaysia khususnya, Islam telah sejak berzaman diletakkan pada tempat yang istimewa dan menepati susur galur sejarah dan citra pengalaman umat Melayu, sebagai agama Negara sebagaimana termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Umat Islam akan dilabel dan dimomokkan sebagai bermentaliti tertawan (siege mentality), mendiskriminasi, tidak rasional dan toleran sifar setiap kali mengambil inisiatif-inisiatif untuk mempertahankan kedaulatan Islam serta institusi-institusinya. Umat Islam akan dituduh sebagai tidak menepati standard dan prinsip sejagat hak asasi manusia apabila menegaskan hak beragama mereka yang sedia wujud. Tetapi bagi para pemimpin PEMBELA, tohmahan-tohmahan serta stereotaip seumpama ini akan terus melakar deras di sepanjang zaman oleh musuh-musuh yang tidak redha dengan agama Ilahi, sama ada umat Islam bertindak ataupun berdiam diri terhadap agenda jahat mereka. Sebaliknya, PEMBELA akan terus mempertahankan Islam menurut kerangka undang-undang serta hak-hak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. hal ini dicapai melalui sikap dan tindakan menjunjung Shari’ah dan sumber-sumber muktabar perundangan Islam, yang melangkaui batas politik, serta sebarang kepentingan individu dan sifat oportunistik.

Setiap perkara yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. PEMBELA juga melihat bahawa isu kontroversi di sekitar kalimah ‘Allah’ ini sebagai citra pemerkasaan perpaduan umat Islam di Malaysia. Ramai di kalangan umat Islam yang sudah jelas muak dengan hipokrasi politik dan sifat taksub terhadap pemimpin yang dangkal ilmu dan rendah akhlak yang cuba menangguk di air keruh meraih sokongan sempit masyarakat demi memastikan mereka mendapat kekuasaan tampuk pemerintahan. Untuk membiarkan para pemimpin politik yang jahil dan sombong berada di saf hadapan menjelaskan urusan penting berkaitan aqidah umat pula merupakan suatu kezaliman ke atas masyarakat dan dosa yang tidak boleh diizinkan berleluasa.

Sebaliknya, perpaduan umat Islam dapat tercapai, dalam konteks kontroversi kalimah ‘Allah’ ini, apabila para ulama’ dan sarjana Muslim yang ikhlas diletakkan pada tempat mereka di dalam menghurai isu dan permasalahan Islam dan cabaran semasa. Umat Islam bersatu atas kebenaran dan kewibawaan mereka yang berniat ikhlas semata-mata ingin melihat Islam dipertahankan dengan seadilnya. PEMBELA yakin, bahawa perpaduan umat Islam di dalam isu kalimah Allah ini boleh diwujudkan di kalangan pemimpin-pemimpin parti politik Melayu-Muslim di Malaysia. Isu ini boleh mencetus dan memberdaya ruang perpaduan dan kerjasama yang ikhlas dan strategik di kalangan parti-parti politik yang mendukung aspirasi Melayu-Muslim di kalangan umat Islam.

Pada hakikatnya, momokan serta desakan-desakan yang berselindung disebalik pelbagai isu berkaitan kepentingan Islam yang berterusan daripada mereka yang bertopengkan hak asasi manusia, kebebasan mutlak dan demokrasi seharusnya mendedahkan ‘musuh sebenar Islam’. Sudah tiba masanya parti-parti politik majoriti Melayu-Muslim meningkatkan muhasabah dan mengambil iktibar ini untuk mengukuhkan jiwa-jiwa mereka demi perpaduan umat. Jika para pemimpin parti-parti politik Melayu-Muslim gagal, umat Islam akan hilang kewibawaannya, jati diri umat Islam akan dibelenggu bayangan musuh Islam dan aqidah akan terus diancam.

Justeru, umat Islam dijemput untuk hadir beramai-ramai ke Forum Islam dan Cabaran Semasa: Polemik Isu Kalimah Allah. Kehadiran umat Islam akan menzahirkan keprihatinan mereka terhadap isu yang sangat mencabar keutuhan aqidah mereka, demi mempertahankan kesucian Islam dan mewariskan perpaduan yang bermakna buat generasi muda Malaysia di masa hadapan.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s