ärˈtikyələt

│Azril Mohd Amin's personal views

Campurtangan isu kalimah Allah cemar kedaulatan negara

Pada 25 November 2013, salah sebuah media utama Barat, Reuters, telah melaporkan pandangan yang dikemukakan Heiner Bielefeldt, Jurulapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Kebebasan Beragama, yang menggesa agar kerajaan Malaysia mengubah keputusannya melarang penggunaan nama Allah bagi menterjemahkan maksud Tuhan di kalangan penganut agama Kristian. Menurut beliau, hal-hal berkaitan beragama tidak sewajarnya dikawal kerajaan sesebuah Negara. Di dalam kenyataan beliau, disebutkan “…It cannot be the business of the State to shape or reshape religious traditions, nor can the State claim any binding authority in the interpretation of religious sources or in the definition of the tenets of faith.”

Pandangan ini dipengaruhi pendirian terdahulu Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) yang telah memasukkan secara khusus tuntutan membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian. Perenggan 10 di dalam laporan COMANGO bertarikh 10 Mac 2013 yang dijadikan asas semakan sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva 24 Oktober 2013 lalu telah menyatakan perkara-perkara yang bertujuan mewujudkan kekeliruan-kekeliruan terhadap isu kebebasan beragama di Malaysia, termasuk kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian yang masih belum diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah tertinggi di Malaysia. Hal ini juga bertujuan menafikan hakikat kuasa raja-raja Melayu yang menjadi ketua bagi hal ehwal Islam dengan dibantu Majlis-majlis Agama Islam negeri-negeri, Mahkamah-mahkamah Shariah dan jabatan-jabatan agama Islam.

Penulis percaya bahawa percubaan untuk mencemar kedaulatan Negara ini melalui isu penggunaan nama Allah oleh penganut Kristian akan berterusan sehingga Malaysia tunduk menerima tekanan-tekanan antarabangsa. Melalui tuntutan COMANGO serta pelbagai suara yang mahukan campurtangan agensi Hak Asasi Manusia (HAM) antarabangsa, isu ini tidak akan reda selagi mereka tidak memperolehi hak batil yang dituntut. Segelintir golongan ini hanya akan berpuas hati apabila hak-hak batil mereka dipenuhi, yang sebenarnya mewujudkan keadaan sukar sebagaimana terjadi di Negara-negara Muslim seperti Mesir dan Tunisia, yang telah meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai hak-hak Awam dan Politik (ICCPR). Artikel 18 konvensyen tersebut, dibaca bersama-sama Perkara 18 Deklarasi Sejagat HAM (UDHR) 1948 menjamin kebebasan beragama, tetapi maksud kebebasan tersebut ditakrif termasuk juga kebebasan untuk menukar agama atau murtad. Isu tuntutan kalimah Allah ini dimanipulasi para pemimpin NGO HAM yang tidak bertanggungjawab kerana mereka tahu bahawa Malaysia hanya bakal membuat penerimaan muktamad syor-syor UPR di sesi Majlis HAM pada bulan Mac akan datang. Tekanan –tekanan atas nama HAM ini akan menyukarkan proses perundangan di Malaysia berjalan dengan bebas, adil dan saksama.

Tidak menghairankan apabila wujud di kalangan pemimpin beragama Islam sendiri yang mempertahankan tindakan salah penganut agama Kristian melanggar undang-undang sah di bawah enakmen tersebut. Atas nama keharmonian beragama, dialog antara agama dan HAM, mereka berkokok mempertahankan sesuatu yang penganut Kristian sendiri tidak sepakat di kalangan mereka. Penggunaan nama Allah sebagai rujukan terjemahan istilah ‘Tuhan’ bukanlah suatu prinsip utama di dalam agama Kristian. Malah tuntutan di Malaysia ini semata-mata bertujuan untuk berdakyah mengelirukan orang Melayu, serta menggunakan strategi kontekstualisasi dalam percubaan mereka untuk mempengaruhi orang melayu memeluk ajaran kristian. Para pemimpin beragama Islam yang ghairah mempertahankan tindakan penganut kristian ini ternyata tidak sedar tentang strategi ini yang telah terbukti di Negara-negara majoriti Muslim lain seperti Bangladesh dan Indonesia seperti yang diakui sendiri majalah Christianity Today, terbitan aliran evangelical semenjak tahun 1956. Mereka terkeliru antara usaha dialog antara agama yang benar-benar bertanggungjawab menghormati perbezaan agama dengan usaha gerakan evangelical yang licik memperdayakan orang-rang Islam.

Segelintir pemimpin beragama Islam ini juga ghairah menjadi duta COMANGO dan cuba menjuarai isu-isu HAM. Sikap dan pendirian mereka selari dengan tindakan COMANGO yang menuntut supaya penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut Kristian dibenarkan atas nama kebebasan beragama dan bersuara. Bila sahaja pertubuhan-pertubuhan Islam (NGI) dan umat Islam bersuara menyatakan keprihatinan mereka, label-label tipikal seperti, ekstrimis, fundamentalis dan mentaliti tertawan digunakan terhadap mereka oleh golongan pemimpin liberal ini. Kononnya umat Islam terlalu takut dan terlalu rapuh keimanan mereka sehingga memerlukan perlindungan. Sedangkan kita mengetahui Rasulullah s.a.w sendiri menyuruh umatnya untuk sentiasa memperbaharui iman sebagaimana di dalam satu hadithnya yang bermaksud, “Abu Hurairah r.a telah berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Sentiasalah kamu memperbaharuilah iman kamu.’ Rasulullah ditanya: ‘Bagaimana memperbaharui iman Ya Rasulullah SAW? Jawab Baginda s.a.w:’Perbanyakanlah mengucap LAILAHA ILLALLAH.’” (Riwayat Ahmad dan Al-Hakim). Maka adakah wajar tindakan menetapkan penggunaan kalimah Allah dalam konteks yang betul dituduh sebagai bersikap takut akan kerapuhan iman umat Islam?

Justeru adalah wajar bagi umat Islam menuntut pihak berkuasa untuk mengambil tindakan di bawah Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 terhadap Paderi Lawrence Andrew berikutan kedegilannya untuk terus menggunakan nama Allah dalam upacara agama Kristian di Negeri Selangor. Tindakan beliau adalah suatu bentuk penyalahgunaan nama suci Allah dan penghinaan kepada ajaran Islam. Umat Islam amat terguris dengan perbuatan merendah-rendahkan nama Allah Yang Maha Esa. Nama Allah adalah nama khas bagi Allah yang Maha Esa dan bukan nama bagi apa sahaja yang mereka anggap tuhan.

Akidah umat Islam di Negara ini pada hakikatnya telah diberikan perlindungan yang sewajarnya dari dipengaruhi oleh iktikad dan kepercayaan-kepercayaan agama bukan Islam di bawah Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Negeri Selangor telah pun menggubal undang-undang bernama Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) undang-undang ini telahpun wujud sejak 25 tahun lalu namun didapati tiada tindakan dan penguatkuasaan yang dilakukan.

Seksyen 9 Enakmen ini melarang orang bukan Islam menggunakan perkataan-perkataan tertentu yang bersumberkan ajaran Islam sebanyak 26 perkataan termasuk nama Allah dalam apa-apa kegiatan keagamaan mereka.

Semua kesalahan dan kes di bawah Enakmen ini hendaklah disifatkan sebagai kesalahan-kesalahan boleh tangkap dan kes-kes boleh tangkap bagi maksud Kanun Prosedur Jenayah. Ketua Pegawai Penguatkuasa JAIS turut diberikan kuasa berdasarkan warta bertarikh 16.11.1999.

Menurut Enakmen tersebut, kuasa yang diberi kepada pegawai bertauliah/pegawai diberikuasa Kuasa adalah untuk menangkap tanpa waran orang-orang yang disyaki dan kuasa untuk menyiasat apa-apa kesalahan berkenaan dengan enakmen. Selain Penguatkuasa JAIS, Pihak polis turut diberi kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang ini memandangkan kesalahan-kesalahan yang menyentuh pengembangan agama bukan Islam ini merupakan kesalahan di bawah undang-undang sivil yang melanggar prinsip perlembagaan Negara dan bukanlah kesalahan jenayah Syariah.

Di samping itu, pihak polis juga mempunyai pengalaman, kepakaran dan kemahiran dalam prosedur jenayah sivil kerana kesalahan-kesalahan tersebut boleh melibatkan kesalahan serius yang menyentuh perhubungan antara kaum, kedudukan dan sensitiviti agama Islam serta kepentingan awam.

Justeru semua pihak perlu menghormati kedudukan status quo berhubung isu ini sehingga diputuskan institusi kehakiman tertinggi di Malaysia. Selepas keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober 2013, larangan penggunaan kalimah Allah di dalam konteks agama bukan Islam masih terpakai dan termaktub sebagai kedudukan undang-undang yang absah.

Sebarang usaha campurtangan, termasuk menjadikan larangan ini sebagai isu kebebasan beragama dan HAM hatta di peringkat antarabangsa sekalipun, perlu ditolak kerana tindakan tersebut menggadai maruah negara, tidak menghormati kedudukan Islam, dan tidak memenuhi semangat mengamalkan agama lain secara ‘aman dan damai’ menurut Perkara 3(1) kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.

Azril Mohd Amin ialah naib presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia dan telah mengetuai delegasi pertubuhan-pertubuhan Islam ke sesi Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) di Geneva, Switzerland pada 24 Oktober 2013.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Information

This entry was posted on January 8, 2014 by and tagged , , , , .

Hours & Info

+603-8861-7707
Lunch: 1pm - 2pm
Dinner: M-Th 5pm - 11pm

Blog Stats

  • 135,249 hits
January 2014
F S S M T W T
« Dec   Feb »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31  

Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 610 other followers

Follow me on Twitter @azrilmohdamin

%d bloggers like this: