Hentikan segera pembersihan etnik Rohingya

Sumber terbaru media antarabangsa telah melaporkan pembunuhan tidak kurang 30 orang Rohingya beragama Islam. Menurut laporan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) pada 23 Januari, ketua agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Valerie Amos telah menuntut kerajaan Myanmar agar segera membenarkan pekerja bantuan kemanusiaan memasuki kawasan-kawasan krisis dan menggesa penyiasatan bebas dibuat untuk mengetahui sebab pembunuhan tersebut. Manakala presiden Majlis Hak Asasi Manusia Navi Pillay pula telah menuntut penyiasatan segera dilakukan terhadap kejadian pembunuhan tersebut setelah menerima laporan yang berasas mengenai siri pembunuhan orang Islam di Du Chee Yar Tan, salah sebuah perkampungan di Rakhine yang menjadi lokasi terbesar pembunuhan beramai-rami orang Islam.

Pada hakikatnya, pembunuhan tersebut hanya merupakan sebahagian kecil tindakan penghapusan etnik Rohingya beragama Islam yang dilakukan dengan sengaja oleh rejim Myanmar. Pada 2012, lebih 200 orang telah terbunuh di dalam pertempuran sengit di pelbagai lokasi di wilayah Rakhine, malah lebih ramai mangsa yang telah meninggalkan kampung halaman dan menjadi pelarian termasuk ke Negara jiran Bangladesh. Beribu-ribu lagi pelarian berada di merata Negara sebagai pelarian yang tidak diketahui untung nasib mereka. Di Malaysia sahaja, jumlah tidak rasmi merekodkan tidak kurang 8, 000 pelarian yang berada di merata tempat di Negara ini, tidak terbela dan tidak mampu untuk menjalankan kehidupan dengan sempurna. Pada tahun 2013 sehingga saat ini, tindakan pembersihan etnik telah terus berlaku secara serius dan melibatkan beribu-ribu nyawa umat Islam.

Etnik Rohingya adalah seumpama rakyat Palestin bagi umat Islam di rantau Asia Tenggara ini. Banyak pertubuhan-pertubuhan Islam di Negara ini yang sangat prihatin, malah telah menubuhkan pelbagai inisiatif untuk menangani konflik di Palestin. Jika kita masih boleh tidur lena setelah berhari-hari membaca khabar di dalam media mengenai jika pembunuhan etnik Rohingya daripada kalangan pemuda Muslim yang dibakar hidup-hidup dan disembelih, pemerkosaan wanita dan anak-anak serta penghapusan kampung halaman mereka, sebagaimana yang juga berlaku di Negara Palestin, maka kita perlu memikirkan kembali tahap keimanan kita dan bertanya sama ada masih ada sifat kemanusiaan yang tinggal di dalam diri kita.

Hanya kira-kira seminggu yang lalu, para pemimpin Negara-negara anggota ASEAN telah menyelesaikan pertemuan peringkat menteri luar di bandar Bagan, Myanmar. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan Myanmar sebagai anggota terbaru ASEAN yang keanggotaannya telah diterima pada 1997, dan diserahkan mandat sebagai pengerusi pada 2006. Tahun 2014 ini walaubagaimanapun menyaksikan Myanmar meempengerusikan ASEAN buat pertama kali. Menurut Menteri Luar Myanmar, Wunna Maung Lwin, mesyuarat tersebut telah membincangkan hal ehwal kepentingan serantau termasuk pertikaian sempadan wilayah maritim antara China dan Negara-negara ASEAN seperti Vietnam, Malaysia, Brunei dan Filipina.

Walaubagaimanapun, agak malang apabila Lwin menyatakan bahawa mesyuarat tersebut telah mengelak dari membincangkan krisis dalaman Negara-negara anggota ASEAN. Malah, pada hemat penulis, perkembangan ini merupakan suatu lagi bentuk hipokrasi, khususnya bagi sebuah Negara seperti Myanmar yang mahu bersaing dengan Malaysia di dalam menandatangani pelbagai instrumen Hak Asasi Manusia (HAM). Amat memalukan bagi sebuah Negara yang ingin meratifikasi pelbagai konvensyen HAM antarabangsa tetapi dengan penuh helah dan penipuan melakukan pembersihan etnik di dalam negaranya sendiri.

Pada hakikatnya, sebagai pengerusi ASEAN, Myanmar sewajarnya ditekan untuk segera menghentikan pembunuhan beramai-ramai Rohingya di Negara tersebut. Penulis tidak terfikir bagaimana para pemimpin dan wakil diplomatik anggota-anggota Negara ASEAN boleh bermesyuarat dengan tenang dan selesa sambil dipengerusikan Negara yang pada masa yang sama sedang menjalankan pembersihan etnik di dalam negaranya sendiri? Apakah keangkuhan Myanmar ini boleh dibiarkan berleluasa? Dalam situasi ini, Negara-negara anggota ASEAN perlu memikirkan semula prinsip tidak campurtangan (non-interference principle) yang diamalkan ASEAN demi menzahirkan semula sifat kemanusiaan di kalangan mereka. Lebih malang lagi, Myanmar kononnya telah melahirkan ikon pejuang demokrasi dan kebebasan seperti Aung San Suu Kyi, tetapi menutup mata terhadap penderitaan Muslim Rohingya yang dengan sengaja tidak diiktiraf kewarganegaraan mereka, dibunuh dan diusir atas tujuan penghapusan etnik.

Negara-negara anggota ASEAN mungkin tidak boleh menentukan perubahan undang- undang domestik untuk Myanmar. Tetapi mereka perlu membuat keputusan untuk menggesa PBB agar mengambil tindakan berkesan terhadap isu pembersihan etnik tersebut , kerana tindakan Myanmar seterusnya akan menyebabkan berlaku pembunuhan beramai-ramai (genocide) masyarakat awam, yang melanggar prinsip undang-undang antarabangsa.  Myanmar sebagai Negara anggota PBB tidak boleh dibiarkan berkelakuan jenayah. Di sini kita mempunyai kes yang jelas pembersihan etnik (diakui oleh kerajaan Myanmar) yang hampir dengan pembunuhan beramai-ramai.

Sekiranya ASEAN sendiri gagal menyelesaikan konflik pembunuhan ini, maka siapakah bertanggungjawab untuk pembunuhan beramai-ramai itu jika tidak umat Islam sendiri. Jika kita tidak membantu dan melindungi Rohingya, siapakah lagi akan menyuarakan penderitaan mereka dan mengambil kisah pendertiaan berpanjangan umat ini. Dalam ketiadaan tekanan serta tindakan berkesan PBB, umat Islam sendiri perlu dipertanggungjawabkan menyelesaikan penderitaan yang besar ini.

Walaupun mungkin Malaysia tidak mahu campurtangan sekalipun, kita harus proaktif menggesa Negara-negara anggota besar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), seperti Turki dan Arab Saudi untuk berada di barisan hadapan memberikan tekanan ke atas regim Myanmar untuk berhenti dari melakukan pembunuhan dan penghapusan etnik Rohingya. Sudah tiba masanya bagi umat Islam untuk menyuarakan nasib umat Islam Rohingya dengan lebih serius dan mengambil tindakan proaktif membantu mereka dengan sewajarnya. Jika tidak, kita tidak boleh berbangga mendabik dada bahawa kita adalah umat Islam.

AZRIL MOHD AMIN ialah seorang peguam, dan mengetuai Delegasi Pertubuhan-pertubuhan Islam di dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) ke Geneva, Switzerland.

Advertisements

One thought on “Hentikan segera pembersihan etnik Rohingya

  1. assalamualaikum wbt, syukran enta di atas kenyataan yang membela nasib Umat Islam Minoriti yang tertindas di Myanmar. sememangnya nasib masyarakat Rohingya telah dilupai oleh masyarakat dunia termasuk negara Islam. kami merayu kepada semua pihak agar membantu membela dan menghantar pasukan keselamatan bagi membantu meningkatkan keamanan. kami berharap badan keselamatan UN (PBB) dan pihak tertentu segera menghantar MEDIA ANTARABANGSA ke Myanmar bagi membuat liputan.terperinci tentang apa yang berlaku

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s