Kenyataan Media MuslimUPRo – Aye Maung Penjenayah Perang

4 Februari 2014 │ 4 Rabiul Akhir 1435

Lebih setahun yang lalu iaitu pada bulan Jun 2013, dua belas Pemenang Anugerah Keamanan Nobel – termasuk Ketua Biskop Desmond Tutu, Shirin Ebadi, Muhammad Yunus, Tawakkol Karman dan Jody Williams- telah menyeru penamatan segera keganasan terhadap orang Islam dan minoriti etnik lain di Myanmar.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai sususan amaran oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia pada ketika itu, Navi Pillay, bahawa pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan terhadap umat Islam di negeri Rakhine dan lainnya adalah “mengancam proses pembaharuan dan memerlukan tumpuan yang mendalam daripada Kerajaan Burma.” Pillay mahu kerajaan Burma membenarkan pejabat beliau diberikan “mandat penuh” untuk melakukan penyiasatan mengenai pencabulan hak asasi manusia yang berleluasa di Negara tersebut.

Kesemua 12 Pemenang Anugerah Nobel tersebut menyokong seruan Pillay ke atas siasatan PBB ke berhubung pembunuhan umat Islam di Myanmar, dan juga untuk menyiasat secara berterusan keganasan yang dilakukan terhadap Kachin, Shan dan etnik minoriti lain. Mereka telah menyatakan di dalam kenyataan tersebut bahawa “…wujud beberapa golongan di dalam Burma yang sesungguhnya menyebarkan politik perpecahan dan menggunakan keganasan sebagai alat untuk memanipulasi perasaan takut dan tidak selamat.” Seterusnya para pemenang Nobel tersebut telah menyeru kerajaan dan pemimpin lain di Burma untuk menjadikan usaha perdamaian sebagai “keutamaan mereka.”

Pada ketika kenyataan tersebut dikeluarkan, tempoh setahun telah berlalu semenjak keganasan sektarian meletus di negeri barat Myanmar Rakhine, dan PBB menganggarkan bahawa seramai 140,000 orang kekal di kem-kem dengan harapan tipis untuk pulang ke kampung halaman mereka. Pada waktu tersebut juga tempoh dua tahun telah berlalu semenjak tentera rejim Myanmar memungkiri perjanjian gencatan senjata dengan kuasa-kuasa Kachin di utara Myanmar.

Di awal tahun 2014 ini, adalah sangat memeranjatkan apabila Malaysia membenarkan penjenayah perang Myanmar, Aye Maung menjejakkan kaki di Negara kita, sebuah Negara Muslim yang percaya dengan prinsip keserdehanaan, menjiwai keamanan dan menjadi contoh kepada pelbagai Negara lain khususnya di kalangan anggota Pertubuhan Kerjasama Negara islam (OIC) dan ASEAN.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi melalui laporan polis pada 3 Februari oleh Dr. Fauzi Zakaria, Setiausaha Hal Ehwal Luar, Persatuan Ulama Malaysia Wilayah Persekutuan, Aye Maung yang merupakan presiden Rakhine National Development Party (RNDP) telah berada di Negara kita semenjak 30 Januari lalu dan dikatakan mempunyai agenda untuk menghadiri suatu acara khas di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor pada 4 Februari 2014.

Reputasi Aye Maung sebagai salah seorang dalang utama pembersihan etnik Muslim Rohingya ini telah diketahui umum dan pernah didedahkan beberapa media antarabangsa. Sebagai contoh, pada 8 Oktober 2013, akhbar Burma Times telah mendedahkan sedutan wawancara Aye Maung dengan Jurnal Venus News bertarikh 14 Jun 2012 yang menyebut kenyataan beliau bahawa “…Negara Rakhine sepatutnya ditubuhkan dengan cara sebagaimana Israel mula-mula ditubuhkan.” Pelbagai bukti juga telah didedahkan masyarakat sivil tentang kekejaman Aye Maung yang mengepalai usaha pembersihan etnik Muslim Rohingya di banyak kawasan di Myanmar. Pada hakikatnya Aye Maung ini merupakan suatu figur kejam apabila isu pembersihan etnik Muslim Rohingya diperkatakan.

Beberapa persoalan besar timbul di kotak pemikiran kita sebagai rakyat Malaysia yang mencintai keamanan. Pertama, bagaimanakah seorang individu yang jelas telah dikategorikan sebagai penjenayah perang dibenarkan masuk ke Negara ini? Adakah beliau menyalahgunakan pas lawatan sosial beliau dengan melibatkan diri dan memberikan ucapan bermotif politik di mana-mana acara di Negara ini? Atau jika beliau telah memasuki Negara ini menggunakan saluran diplomatik sekalipun, adakah ini bermakna pihak pemerintah Malaysia telah mengiktiraf seorang penjenayah perang yang menjadi dalang utama dan pemikir di sebalik usaha penghapusan etnik Muslim Rohingya?

Pihak MuslimUPRo memandang berat perkembangan ini dan menggesa agar pihak kerajaan, khususya pihak berkuasa Imigresen melakukan siasatan dan tindakan perlu berkaitan lawatan Aye Maung ini. Tindakan tegas terhadap sebarang usaha untuk membawa penjenayah perang yang bersikap bongkak dan kejam sebegini hendaklah dihentikan serta-merta dan dicegah dari awal. Sementara Malaysia menghadapi masalah kebanjiran rakyat etnik Muslim Rohingya yang menjadi mangsa kekejaman dan pembunuhan regim Myanmar, pihak berkuasa tidak sepatutnya mengizinkan penjenayah perang seperti Aye Maung menyebarluaskan fahaman yang boleh mengakibatkan kegelisahan dan ketakutan di kalangan sesiapapun di Negara ini. Khususnya jika tidak ditangani dengan bijaksana, maka dikhuatiri akan berlaku perselisihan faham di kalangan etnik Muslim Rohingya di Negara ini yang sedang menderitai kesan kekejaman terhadap mereka.

Pihak MuslimUPro juga menggesa agar pihak pemerintah lebih bertegas dan berwaspada terhadap sebarang lawatan seumpama ini di masa hadapan. Adalah jelas bahawa etnik Muslim Rohingya, yang diperakui PBB sebagai etnik minoriti paling ditindas di dunia tidak mendapat pembelaan sewajarnya apabila tiada tindakan tegas diambil sama ada oleh PBB sendiri, Pertubuhan ASEAN mahupun OIC.

Sekurang-kurangnya, Malaysia sebagai sebuah Negara berdaulat perlu memastikan penjenayah perang seperti Aye Maung langsung tidak diberikan tempat di Negara ini, apatah lagi untuk membawa masuk nilai-nilai zalim dan buruk dari Myanmar yang bercanggah dengan fitrah keagamaan, nilai kemanusiaan dan hak asasi manusia.

Azril Mohd Amin ialah Pengerusi Muslim UPRo, Delegasi Pertubuhan-pertubuhan Islam ke Semakan Berkala Sejagat, Geneva, Switzerland

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s