Penderitaan Rohingya: Perlunya tindakan lebih berkesan

Diterbitkan di sini.

Mesyuarat Peringkat Tertinggi Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) ke-21 yang diadakan di Pnom Penh pada 18-19 November 2012 telah mezahirkan keazaman politik baru rantau ini dengan termeterainya Perisytiharan Hak Asasi Manusia (HAM) ASEAN atau ASEAN Human Rights Declaration (AHRD) yang melakar sejarah kewujudan rantau yang strategik ini.

Pada 18 November 2012, AHRD telah secara rasmi disepakati dan ditandatangani sebagai susulan perkembangan menarik pada tahun 2009 apabila Negara anggota ASEAN berjaya membentuk Badan HAM ASEAN yang tersendiri. AHRD menyatakan bahawa HAM akan dipertimbangkan mengikut “konteks serantau dan nasional”. Hal ini bererti sikap menghormati, mempromosi dan melindungi HAM tertakluk pada pembatasan-pembatasan yang dilakukan Negara-negara ASEAN secara kolektif dan oleh negara-negara anggota ASEAN secara individu. Hakikatnya, pencapaian HAM di ASEAN tidak mengikut telunjuk dan acuan faham HAM barat semata-mata, tetapi mengambilkira realiti dan pendekatan menghadkan prinsip-prinsip HAM secara bersama dengan menurut realiti budaya, agama dan sejarah Negara-negara anggota. Penulis berhujah bahawa pendekatan yang telah disepakati tersebut merupakan acuan yang lebih berkesan pada tahap ini di dalam melaksanakan prinsip-prinsip HAM yang juga menjamin HAM dengan baik bagi keseluruhan masyarakat ASEAN.

Apabila proses pembentukan AHRD pada tahun 2012 ini dicermati, kita mendapati bahawa ASEAN yang ditubuhkan dalam tahun 1967 sebagai sebuah permuafakatan serantau masih baru di dalam arena dan prakarsa memajukan pencapaian HAM. Rantau ini jauh berbeda dengan blok Kesatuan Eropah (EU) yang lebih rencam dan telah melahirkan pelbagai institusi HAM seperti Mahkamah HAM Eropah di sepanjang sejarah pembentukannya. Walaubagaimanapun, pada hakikatnya rantau Eropah telah berkembang menjadi terlampau liberal di dalam mentafsir hak-hak yang layak dituntut manusia sehinggakan hak-hak kontroversi seperti hak untuk murtad, kebebasan berekspresi yang kontroversi dan hak perkahwinan sesama jenis juga disebarluaskan. Begitu juga kebebasan yang dicanang bangsa Eropah ini tidak lain telah didasarkan pada fahaman sekular yang memisahkan agama dari ruang awam serta bertitik tolak dari trauma mereka mengalami kesan perang dunia kedua serta pengalaman perit peristiwa holocaust.

Melihat realiti dan fakta tersebut, sudah tentu acuan dan kerangka HAM rantau Eropah sebagai manifestasi kefahaman dan pengamalan HAM Barat tidak bersesuaian dengan rantau ASEAN. Justeru, AHRD sebagai keazaman baru di dalam medan HAM ASEAN seharusnya membentuk jatidiri tersendiri apabila perbahasan tejntang prinsip-prinsip HAM yang absah diadakan untuk mencapai kesepakatan. Justeru, AHRD itu sendiri telah merupakan hasil cerminan realiti dan latarbelakang ASEAN, disamping mengambilkira faktor budaya, agama dan sejarah.

Walaubagaimanapun pendekatan yang diambil ASEAN di dalam melaksanakan dan memenuhi pencapaian HAM di rantau ini mempunyai banyak ruang pemerkasaan. Salah satu prinsip yang dipersetujui dalam konteks ini adalah non-interference (tidak mencampuri hal ehwal dalaman di kalangan Negara ASEAN). Walaubagaimanapun, bertitik-tolak dari prinsip ini dan dengan semangat kesepakatan untuk menerima HAM mengikut acuan tersendiri, ASEAN seharusnya belajar dari pengalaman kegagalan perlindungan HAM di beberapa negara anggota ASEAN akibat dari penerimaan dan perlaksanaan prinsip non-interference.

Myanmar adalah contoh Negara anggota yang paling sering mengalami krisis politik dan sektarian di kalangan anggota ASEAN. Namun atas nama prinsip non-interference, campur tangan bersifat kemanusiaan sekalipun sukar dilakukan rakan-rakan ASEAN. Setelah hampir dua tahun AHRD dimaktubkan, ujian sebenar keberkesanannya mula menjelma saat kita berhadapan dengan peristiwa kekejaman rejim Myanmar terhadap etnik minoriti Rohingya yang beragama Islam serta beberapa etnik minoriti lain. Pembunuhan beramai-ramai penduduk di daerah-daerah tertentu, pengusiran serta pencabulan HAM ke atas etnik yang diperakui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai etnik minoriti paling dizalimi kesemuanya menjurus kearah tragedi pembunuhan besar-besaran ataupun ‘genocide’ di rantau ini.

Pendek kata, AHRD masih kurang berkesan bagi tuntutan-tuntutan absah HAM kerana dihalang prinsip non-interference tersebut. Sesetengah pemerhati politik berpandangan bahawa model AHRD seumpama ini sekadar mengizinkan Badan HAM ASEAN untuk hanya menjadi ruang mengukuh persaudaraan antara Negara anggota ASEAN dan sekadar tempat saling mengadu tentang situasi HAM di Negara masing-masing. Bagi rejim seperti Myanmar pula, realiti ini hanya menzahirkan sikap hipokrit mereka mencanangkan kepada dunia untuk meratifikasi lebih banyak konvensyen HAM sejagat, tetapi pada masa yang sama meneruskan pembersihan etnik Rohingya beragama Islam.

Sebagai pernyataan dan peneguhan iltizam yang mengikat secara moral, AHRD ini semestinya mengandungi prinsip-prinsip dasar HAM dengan piawaian sejagat tetapi memenuhi realiti budaya, agama dan sejarah tempatan. Selain atas prinsip non-interference, kandungan AHRD yang demikian merupakan identiti Badan HAM ASEAN di dalam menyusun Periystiharan ini dengan dukungan masyarakat sivil.

Dalam konteks menyelamatkan etnik Rohingya dari kekejaman berterusan, tindakan rejim Myanmar menghalalkan pembunuhan dan pengusiran sesebuah etnik adalah pelanggaran yang tidak dapat diterima sama ada di peringkat AHRD ataupun di dalam mana-mana konvensyen HAM sejagat. Demi kemanusiaan, mungkin tahap perlaksanaan prinsip non-interference ini perlu dinilai semula dan dilaksanakan secara bijaksana sebagai langkah pemerkasaan HAM di ASEAN.

Adakah AHRD gagal secara menyeluruh di dalam menghentikan pencabulan HAM etnik Rohingya? Pada hakikatnya, landasan yang sedia wujud semenjak AHRD dimaktubkan sudah pun betul. Negara-negara anggota ASEAN perlu meneliti pada semangat dan prinsip-prinsip yang terkandung di dalam AHRD dan bertindak segera dengan menggunakan prinsip-prinsip di dalam AHRD demi menyelamatkan etnik minoriti Rohingya dari kekejaman, pembunuhan, penusiran dan pencabulan HAM berterusan. Perhatian perlu diberi khususnya pada Fasal 3 yang menegaskan… “Tiap-tiap orang mempunyai hak pengiktirafan di mana jua sebagai seorang insan di sisi undang-undang. Tiap-tiap orang adalah sama rata di sisi undang-undang. Tiap-tiap orang adalah berhak tanpa pembezaan kepada perlindungan yang sama undang-undang, manakala Fasal 4 berhubung “Hak-hak wanita, kanak-kanak, warga tua, orang kurang upaya, pekerja asing, dan kumpulan yang lemah dan terpinggir…”. Kedua-dua fasal tersebut adalah bersifat sejagat. Sesiapapun dalam kalangan Negara ASEAN, hatta yang mengkritik AHRD sebagai tidak menepati Perisytiharan HAM Sejagat (UDHR) perlu akur bahawa AHRD menjamin hak-hak yang disebutkan di dalam kedua-dua fasal tersebut. Justeru tidak adil sekiranya penganiayaan dan pencabulan berterusan HAM etnik Rohingya dibiarkan berterusan.

Fasal 14 AHRD pula jelas melindungi warga ASEAN seperti etnik Rohingya ini. Fasal tersebut menyebutkan bahawa “…. Tiada seorang pun boleh dikenakan seksaan atau kejam, layanan yang tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah atau hukuman.” Dengan berlandaskan fasal ini secara khusus, Negara-negara anggota ASEAN perlu segera bersepakat bertindak menyelesaikan isu etnik Rohingya ini secara serius. Dalam hal ini, Malaysia sebagai sebuah Negara yang menjunjung prinsip kesederhanaan sejagat perlu memainkan peranan proaktif menggerakkan inisiatif permuafakatan bagi menyelesaikan masalah ini secara bersama. Hatta jika Malaysia terpaksa mencadangkan agar prinsip non-interference ini dipertimbangkan semula sekalipun, tindakan ini perlu dilakukan demi menyelamatkan lebih ramai nyawa manusia dari terus terkorban dan dizalimi di Myanmar.

Pada saat ini, harapan yang tersisa dari Badan HAM ASEAN adalah mengoptimumkan prinsip-prinsip HAM yang wujud menerusi AHRD demi menyelamatkan etnik Rohingya dari pembersihan etnik. Tanpa tindakan susulan untuk merealisasikan prinsip-prinsip di dalam AHRD untuk menyelamatkan kemanusiaan, ADHR akan sekadar menjadi sebuah aspirasi penzahiran politik sebuah rantau yang pada hakikatnya berpotensi untuk menjadi contoh pada peradaban manusia sejagat. Tetapi dengan penderitaan etnik Rohingya yang berterusan, ASEAN perlu memikirkan kembali potensi tersebut secara serius dan bertindak segera sebelum kehilangan potensi tersebut selama-lamanya.

AZRIL MOHD AMIN ialah seorang peguam, dan merupakan ketua delegasi MuslimUPRo, Delegasi Pertubuhan-pertubuhan Islam di dalam Proses Semakan Berkala Sejagat di Geneva, Switzerland.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s