Penerusan misi MuslimUPRo di Geneva

Di kala rakyat Malaysia masih diselubungi kesedihan dan pelbagai tanda tanya disebabkan misteri kehilangan pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia semenjak 8 Mac lalu, beberapa perwakilan delegasi MuslimUPRo dengan berat hati telah meninggalkan bumi Malaysia untuk meneruskan perjuangan di Geneva apabila Negara menghampiri sesi penerimaan muktamad (final adoption) syor-syor yang telah dikemukakan 104 negara-negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu semasa pusingan kedua yang telah diadakan pada 24 Oktober 2013 lalu. Sebanyak 232 syor-syor telah dikemukakan terhadap Malaysia berkenaan rekod dan pencapaian hak asasi manusia Negara di sepanjang empat tahun yang lalu.

Delegasi MuslimUPRo meneruskan misi yang telah dimulakan semenjak tahun 2012 bagi memantau tuntutan-tuntutan kontroversi Hak Asasi Manusia dan memberikan penerangan berterusan kepada misi kedutaan asing dan NGO Hak Asasi Manusia di Geneva mengenai kedudukan Islam di Malaysia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan realiti agama, budaya dan sejarah Malaysia dan realiti sebenar pencapaian Hak Asasi Manusia Negara ini. Sekurang-kurangnya dua perwakilan MuslimUPRo juga akan menghadiri sesi penerimaan muktamad (final adoption) pada 20 Mac 2014 kelak semasa wakil-wakil agensi menyatakan pendirian Kerajaan Malaysia terhadap syor-syor semasa di UPR. Tertakluk pada kebenaran Majlis Hak Asasi Manusia, wakil MuslimUPro juga akan berhujah menyatakan pendirian tentang isu-isu Hak Asasi Manusia melibatkan Malaysia.

Beberapa perkembangan menarik berlaku selepas selesainya sesi UPR ke 17 lalu. Pada 25 November 2013, Heiner Bielefeldt Jurulapor Khas PBB bagi Kebebasan Beragama telah mengkritik dan menggesa Kerajaan Malaysia supaya menarik semula keputusan menghalang penggunaan kalimah ‘Allah’ di dalam konteks agama Kristian di kalangan penganutnya. Kenyataan tersebut dibuat secara sengaja walaupun umum mengetahui bahawa kes masih lagi berada di peringkat permohonan kebenaran merayu oleh pihak Gereja. Sekurang-kurangnya Bielefeldt sepatutnya menghormati sistem kehakiman Negara ini sehingga kes tersebut diputuskan di peringkat akhir sekiranya rayuan dibenarkan untuk didengar ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Tetapi tindakan Bielefeldt tidak menghairankan kerana persepsi dan maklumat yang diperolehi sering diberi secara tidak tepat oleh anasir seperti COMANGO. Malah, semasa di Geneva 10 Mac 2014, SUARAM yang merupakan salah satu ahli gabungan COMANGO telah melakukan intervensi secara lisan dan sekali lagi memanipulasi fakta mengenai situasi kebebasan beragama di Malaysia. Laporan SUARAM dan Aliran antara lain menyenaraikan contoh lain sikap tidak toleransi agama dan ekstremisme seperti pengharaman ajaran Syiah di Malaysia serta merujuk laporan media tentang bagaimana sejumlah masyarakat pribumi Malaysia telah ditipu agar memeluk Islam sebagai balasan bagi mendapatkan bantuan kebajikan. Ini disebut pertubuhan itu di dalam kenyataan baru-baru ini. Fakta ini tidak benar sama sekali dan telah dinafikan pihak JAKIM.

Seterusnya pertubuhan itu menyatakan lagi bahawa laporan mereka itu telah menekankan mengenai bagaimana rakyat Malaysia beragama Kristian dihalang daripada menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan mereka ekoran keputusan mahkamah sebelum ini. Komen sebegini ternyata tidak menghormati sistem kehakiman Negara dan menggambarkan seolah-olah pihak Kristian dinafikan hak untuk didengar di Mahkamah Negara ini.

Mengenai serbuan dan rampasan Bible versi bahasa Malaysia yang mengandungi kalimah Allah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pertubuhan itu turut melaporkan kepada PBB bahawa tindakan itu secara terang melanggar kebebasan beragama seperti yang dijamin di bawah Perlembagaan Negara selain yang termaktub dalam Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat. Pada hakikatnya, JAIS telah membuat tindakan bersandarkan peruntukan-peruntukan Enakmen Agama Bukan Islam yang merupakan undang-undang sivil yang sah pada masa ini. Hakikat ini disembunyikan SUARAM, sebaliknya dimanipulasi dan diberikan persepsi negatif seolah-olah Malaysia menzalimi panganut Kristian.

Usaha berterusan COMANGO ini menzahirkan sifat hipokrit NGO Hak Asasi Manusia yang sengaja menyembunyikan hakikat bahawa kedudukan Islam di Malaysia, yang dijamin Fasal 3(1) Perlembagaan Persekutuan, tidak sekali-kali mengizinkan agama-agama lain ditindas. Terdapat pelbagai bukti mengenai keharmonian beragama yang dijamin untuk penganut agama-agama bukan Islam di Malaysia. Jika dibandingkan dengan pelbagai Negara Islam lain, kerajaan Malaysia membenarkan pembinaan rumah-rumah ibadat bukan Islam dijalankan dengan mengikut peraturan sedia wujud, perayaan-perayaan keagamaan juga dibenarkan hatta di peringkat nasional dan peruntukan-peruntukan kewangan diberikan kepada kumpulan-kumpulan keagamaan untuk menjalankan kegiatan mereka menurut lunas Perlembagaan Persekutuan.

Ternyata dakwaan-dakwaan yang ditujukan terhadap kerajaan adalah sebenarnya merupakan situasi-situasi Hak Asasi Manusia yang sengaja dimanipulasi dan digembar-gemburkan pihak COMANGO atas sebab iri hati terhadap kejayaan Malaysia mengurus hubungan antara agama secara baik semenjak berpuluh-puluh tahun yang lalu. Oleh kerana ketaksuban mereka terhadap faham Hak Asasi Manusia yang berlatarbelakangkan nilai liberal-sekular, maka COMANGO memainkan api permusuhan anatara agama. Kebanyakan dari kalangan aktivis COMANGO bukanlah di kalangan penganut agama yang komited. Mereka sekadar menggunakan nama pertubuhan-pertubuhan agama bukan Islam di Negara ini untuk menjustifikasi perjuangan mereka di pentas-pentas antarabangsa bagi menzahirkan kehebatan mereka menjuarai isu Hak Asasi Manusia. Hanya apabila mereka berjaya mewujudkan situasi-situasi palsu “pelanggaran Hak Asasi Manusia” tersebut, khususnya di Malaysia, maka mereka mempunyai alasan kukuh untuk mendapat dana asing daripada penaja-penaja asing yang sememangnya beragenda jahat dan hasad terhadap kedaulatan dan kesejahteraan Negara.

Menyedari cabaran seumpama ini, MuslimUPRo sentiasa menyedari kepentingan sesi tersebut untuk menjelaskan keadaaan sebenar rekod dan pencapaian hak asasi manusia. Kami juga sedar dan berwaspada tentang tindakan manipulasi yang telah dibuat beberapa NGO Hak Asasi Manusia liberal-sekular, khususnya yang bergabung atas nama COMANGO. COMANGO telah mengemukakan tuntutan-tuntutan kontroversi dan tidak berasas yang mencabar kesucian Islam di Malaysia dan kedaulatan undang-undang serta menghakis prinsip kesopanan dan kesusilaan di dalam Rukun Negara. Secara khusus, terdapat 6 tuntutan kontroversi yang bersifat biadab dan ditolak kesemua NGI di Malaysia melalui kesepakatan gabungan delegasi NGI ke Semakan Berkala Sejagat, MuslimUPRo.

Pihak kami mengajak NGI-NGI menyertai penegasan MuslimUPRo Malaysia di dalam menolak tuntutan-tuntutan kontroversi COMANGO. Pada hakikatnya, faham liberal-sekular yang dianuti COMANGO sangat berbahaya kepada kedaulatan Negara dan kemaslahatan umat Islam khususnya dalam jangka masa panjang, oleh kerana melibatkan perkara-perkata asas aqidah, syariah dan akhlaq umat Islam. Sikap bongkak dan kebiadaban yang dizahirkan COMANGO ini terserlah, kerana walaupun mereka menyedari tuntutan-tuntutan mereka bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Negara, mereka masih melobi di pelbagai peringkat dengan tujuan memburuk-burukkan nama Negara melalui tuduhan-tuduhan dan member persepsi salah mengenai Negara kepada media antarabangsa. Ini termasuklah mengenai isu kebebasan beragama, hak golongan LGBT, penyebaran agama syiah, kedudukan istimewa Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan dan institusi-insitusi Islam seperti Majlis-majlis Agama Islam Negeri dan Mahkamah Syariah.

Justeru kami ingin memperkukuh pendirian Kerajaan untuk terus konsisten di dalam menegaskan asas-asas Perlembagaan Persekutuan semasa membuat penerimaan muktamad kelak. Kami yakin bahawa kepimpinan YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak akan berganjak dari pendirian memelihara Islam di Negara ini yang telah ditegaskan selama ini. Kami juga yakin bahawa Kerajaan menjunjung prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang di dalam menerima syor-syor yang telah dikemukakan kepada Malaysia, tanpa melupai tanggungjawab untuk memperbaiki keadaan Hak Asasi Manusia berdasarkan tuntutan-tuntutan yang mempunyai asas keabsahan (legitimate basis).

Di kala bermusafir di bumi Geneva ini, kami memperhebat doa, munajat kepada Allah SWT dan keyakinan buat Malaysia menemui semula pesawat MH370 yang masih hilang. Kami juga memohon doa rakyat Malaysia agar delegasi MuslimUPRo akan dipelihara Allah SWT, dianugerahkan kekuatan hujah serta ketajaman akal pemikiran dan keberanian untuk berhadapan dengan NGO-NGO Hak Asasi Manusia yang membuat tuntutan-tuntutan tidak munasabah terhadap Malaysia. Semoga penerimaan muktamad Malaysia pada 20 Mac ini menjadi cerminan kedaulatan Malaysia serta model mithali menjaga kesejahteraan masyarakat dunia dalam aspek pencapaian Hak Asasi Manusia.

Azril Mohd Amin ialah seorang peguam dan mengetuai MuslimUPRo, Delegasi Pertubuhan-pertubuhan Islam ke Semakan Berkala Sejagat di Geneva, Switzerland

18 Mac 2014 │Geneva, Switzerland

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s