Misi pelobi LGBT cemari agenda PBB

Diterbitkan di sini.

MATLAMAT Pembangunan Milenium 2015 (MDG 2015) mengandungi lapan tujuan yang dipersetujui oleh 192 negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk dicapai menjelang 2015. Pelan ini terhasil daripada matlamat pembangunan antarabangsa Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan secara rasminya diasaskan pada Kemuncak Milenium pada tahun 2000, disertai 189 pemimpin dunia yang mengguna pakai Perisytiharan Milenium PBB.

Lapan matlamat itu termasuk membasmi kemiskinan tegar dan kebuluran, mencapai pendidikan asas sejagat, meningkatkan persamaan jantina dan memberi kuasa kepada wanita, mengurangkan kematian kanak-kanak di bawah usia lima tahun pada kadar dua per tiga, mempertingkatkan kesihatan ibu mengandung, memerangi HIV/AIDS, malaria dan penyakit lain, memastikan kemapanan alam sekitar dan membangunkan kesepakatan global bagi pembangunan.

Kesemua lapan matlamat yang digariskan adalah misi pembangunan yang memberi fokus kepada pembangunan bersifat mapan dan menyeluruh demi kesejahteraan manusia.

Secara keseluruhannya, tiada yang kontroversi tentang hasrat dan pelan tindakan yang terkandung di dalam MDG 2015, dan Malaysia yang sudah memasuki pusingan terakhir untuk menjadi sebuah negara maju bukan sahaja perlu menyokong penuh pelaksanaan MDG 2015 di peringkat global, bahkan perlu berusaha secara bijaksana dan bersungguh-sungguh agar kesemua matlamat yang digariskan dapat dicapai sejurus negara melepasi 2015 dan menyentuh tirai 2020.

Dalam usaha mencapai kesemua matlamat tersebut, MDG 2015 seharusnya tidak lari dari matlamat mencapai kesejahteraan manusia berasaskan nilai-nilai murni.

Justeru MDG 2015 tidak boleh dijadikan landasan bagi golongan pejuang hak asasi manusia berfahaman liberal-sekular memanipulasi isu hak asasi manusia demi mendapatkan tuntutan-tuntutan yang tidak munasabah, sebagaimana yang sering berlaku melalui wadah dan mekanisme PBB.

Ketika ini PBB sedang bersedia untuk melakukan perbahasan mengenai perancangan selepas MDG yang bakal berakhir pada 2015. Sehingga kini, PBB telah menerima mesej-mesej para pemimpin dunia daripada kalangan sejuta penyertaan dari 88 buah negara anggotanya.

Dengan tema “A Million Voices: The World We Want” yang diarahkan kepada para pemimpin dunia yang akan bersidang kelak untuk menentukan agenda selepas 2015, antara fokus mesej tersebut adalah untuk agenda baru yang dibina berasaskan hak asasi manusia dan nilai-nilai kesaksamaan sejagat, keadilan dan keselamatan serta memfokus pada matlamat-matlamat yang kukuh dan boleh diukur dan mempunyai ruang untuk diperbaiki.

Ternyata arah tuju matlamat selepas pelan MDG 2015 tersebut jelas dan tidak kontroversi. Namun, kita semua maklum dan berwaspada bahawa sentiasa wujud golongan yang mempertaruhkan dan mengetepikan prinsip-prinsip keagamaan dan nilai-nilai kemanusiaan demi mencapai tuntutan segelintir pihak yang mengikut hawa nafsu semata-mata di dalam memandu pencapaian hak asasi manusia.

Hal ini terbukti dengan tindakan terkini yang dizahirkan usaha melobi NGO-NGO pro-LGBT melalui sepucuk surat yang diutus kepada PBB baru-baru ini. Surat tersebut masih menyatakan sikap tidak berpuas hati beberapa NGO terhadap usaha PBB memperbaiki keadaan pencapaian hak-hak asasi manusia di kalangan negara anggotanya.

Desakan di dalam surat tersebut tetap menuntut hak-hak golongan yang didakwa dipinggirkan termasuk mereka yang menganut budaya hidup songsang LGBT, walaupun Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon telah beberapa kali berjanji tidak mengecualikan mana-mana golongan di dalam perbahasan PBB untuk membincangkan pelan selepas MDG 2015.

Pendirian kontroversi NGO-NGO sebegini tergambar pada 9 April 2014 melalui kenyataan Alessandra dos Santos Nilo iaitu Pengasas dan Pengarah Eksekutif GESTOS, sebuah NGO hak asasi manusia, demokrasi dan AIDS semasa berbahas di sesi pembukaan bersama Perhimpunan Agung dan Majlis Sosial dan Ekonomi PBB di New York.

Pendirian beliau yang mewakili suara pelbagai NGO sangat menggusarkan kita apabila jelas merupakan usaha melobi hak-hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang ingin dimasukkan ke dalam landskap perbahasan yang bakal membentuk perancangan PBB dan masyarakat dunia selepas MDG 2015. Khususnya beliau menyatakan di dalam ucapan itu:

“Despite the call from the UN Secretary General that ‘no one will be left behind’ we witness the growth of conservative forces at the UN from different sides. We still have some untouchable themes in this house: sexual rights, gender identity, safe abortion, recognition of the rights of people who use drugs, gays, lesbians, transgender and sex workers are among the pending issues at the UN.”

“This means that the people that historically have been left behind will continue to be so, because at this point of the UN history, despite all agreements and commitments affirming they are inter-linked, there is still a dangerous disconnection between development and human rights.”

Alessandra juga mengemukakan surat NGO-NGO yang dimaksudkan tersebut kepada PBB di akhir pembentangan beliau. Surat yang bertajuk “The actions we need for the future we want – a civil society red flag” didakwa telah ditandatangani 750 NGO seluruh dunia dan telah dikarang sejurus selesai mesyuarat Suruhanjaya PBB mengenai Wanita dari 10-21 Mac 2014.

Ternyata, kelicikan NGO-NGO yang pro-LGBT ini sentiasa menggunakan kesempatan atas nama perjuangan hak asasi manusia secara umum untuk secara manipulatif dan halus mendesak agar golongan LGBT diberikan pengiktirafan sebagaimana hak-hak lain yang mempunyai asas keabsahan (legitimasi) seperti terkandung di dalam hasrat dan pelan tindakan MDG 2015.

Semasa sesi yang menghasilkan surat daripada NGO-NGO tersebut, kesemua 44 penutup yang dipersetujui (agreed conclusions) telah menegaskan sikap konservatif dan tidak melayan sebarang tekanan untuk merubah nilai-nilai sedia ada termasuk tidak melayan tekanan-tekanan untuk memberikan sebarang keistimewaan kepada golongan LGBT yang diperjuangkan NGO seperti GENTOS.

Malah ternyata kandungan surat NGO-NGO yang terhasil tersebut adalah ekspresi sikap tidak puas hati golongan pelobi pejuang hak-hak LGBT apabila yang menandatanganinya adalah kalangan NGO pro-LGBTI (LGBT dan intersex) antarabangsa termasuk International Gay and Lesbian Human Rights Commission, COC Netherlands, the Global Initiative for Sexuality and Human Rights, International Lesbians, Gays, Bisexuals, Trans and Intersex Association (ILGA), the Global Forum of Men who have Sex with Men (MSMGF) dan the Coalition of African Lesbians.

Isu utama mereka yang sering memanipulasi perjuangan LGBT ini adalah menggambarkan di dalam inisiatif melobi mereka bahawa golongan tersebut dianiaya dan dizalimi. Istilah-istilah seperti ‘diskriminasi’, ‘kezaliman’, ‘dinafikan hak untuk hidup normal’ sering diguna pakai untuk menggambarkan golongan LGBTI ini perlu mendapat keistimewaan dan perlu dijunjung tinggi hak mereka melebihi hak manusia normal.

Hakikatnya, mereka ingin mendapatkan dua perkara utama iaitu pertamanya, pengiktirafan sosial untuk melakukan kegiatan homoseksual secara terbuka sebagai suatu hak yang normal. Keduanya dan matlamat akhir, untuk memastikan institusi perkahwinan sejenis di seluruh dunia dapat dilaksanakan.

Tuduhan kononnya mereka dizalimi dan tidak diberikan layanan adil dan saksama hanya topeng kepura-puraan untuk menuntut hak yang lebih banyak dan lebih istimewa daripada manusia biasa.

Di dalam konteks Malaysia, gerakan sejagat pelobi hak-hak LGBT ini bergerak melalui kempen seperti Seksualiti Merdeka dan gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) yang hangat diperkatakan khususnya semasa sesi Semakan Berkala Sejagat dibuat terhadap Malaysia tahun lalu.

Mereka mendesak supaya Seksyen 377 Kanun Keseksaan dan enakmen-enakmen syariah berkaitan larangan terhadap kegiatan hidup songsang LGBT dihapuskan. Penghapusan peruntukan undang-undang tersebut adalah langkah pertama mengizinkan hubungan sejenis secara terbuka dan perkahwinan sejenis diperkenalkan di negara ini.

Penulis bukanlah obses dalam penentangan hak-hak LGBT dan mengaburkan mata terhadap hak-hak lain.

Sepertimana yang ditegaskan di awal tulisan ini, hak-hak yang terkandung di dalam hasrat MDG 2015 merupakan perkara-perkara yang wajar diterima Malaysia dan diusahakan demi mencapai kesejahteraan masyarakat menurut nilai-nilai dan prinsip-prinsip sejagat yang bersesuaian dengan realiti sejarah, budaya dan agama serta tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Hujah penulis menentang inisiatif NGO seperti GESTOS adalah kerana golongan pejuang hak asasi manusia yang berfahaman liberal-sekular ini sentiasa akan memanipulasi peluang mereka di forum-forum antarabangsa demi mencapai matlamat mendapatkan hak-hak yang mereka tahu telahpun ditolak masyarakat dunia.

Masyarakat perlu menyedari bahawa jika kita berdiam diri dan tidak melawan usaha pelobi ini, akhirnya negara berisiko tinggi membenarkan hak-hak LGBT ini berleluasa menjalankan kehidupan songsang mereka secara terbuka dan kita terpaksa menerima institusi perkahwinan sejenis sebagai perkara normal di kalangan masyarakat Malaysia.

Trend ini sebenarnya sudah berleluasa di negara kita sejak lebih sedekad lalu. Jika diteliti perkembangan golongan LGBT ini, sebenarnya Malaysia berada di kalangan negara minoriti kerana hanya tinggal 76 negara yang masih menjadikan amalan songsang berkaitan LGBT sebagai perlakuan jenayah, manakala yang semakin bertambah ialah 18 negara termasuk paling mutakhir United Kingdom yang mengizinkan perkahwinan sejenis.

Lebih membimbangkan lagi pada 2013, Parlimen Jerman terpaksa memperkenalkan undang-undang untuk mengetatkan peraturan perlakuan hubungan seks dengan binatang atau “beastiality” yang telah diizinkan negara tersebut semenjak 1969, oleh kerana golongan pengamalnya akhir-akhir ini mahukan hak untuk perkahwinan mereka dengan pasangan haiwan diiktiraf undang-undang.

Perkembangan membimbangkan ini pastinya memaksa kita berfikir sejenak untuk tidak mengizinkan manipulasi perjuangan hak asasi manusia sejagat demi memenuhi hawa nafsu golongan pelampau hak asasi manusia yang saban hari semakin mendapat sokongan pelbagai lapisan masyarakat. Inisiatif PBB dan proses mencapai keputusan negara anggota selepas MDG 2015 tidak sepatutnya dicemari tuntutan hak-hak melampau golongan liberal-sekular yang tidak mempedulikan prinsip-prinsip keagamaan dan nilai-nilai baik kemanusiaan di dalam memperbaiki agenda hak asasi manusia sejagat.

Malaysia perlu memimpin usaha menyemarakkan kesedaran ini dan menawarkan penyelesaian yang lebih membina buat kesejahteraan tamadun manusia.

PENULIS ialah peguam dan kini mengetuai MuslimUPRo, iaitu delegasi pertubuhan Islam ke Semakan Berkala Sejagat, Geneva, Switzerland.

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s