Ancaman fahaman ‘human rights-ism’

Di dalam ucapannya semasa merasmikan Majlis Tilawah Al Qur’an Kebangsaan pada 13 Mei lalu, Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah menegaskan betapa pemikiran dan fahaman human right-ism kini menjadi ancaman atau serangan baru yang agresif terhadap umat Islam.

Apabila beliau menyentuh isu hak asasi manusia, pastinya beliau mahu menyuntik perspektif baharu sesuai dengan wadah seumpama Majlis Tilawah Al Qur’an, apabila ramai di kalangan audiensnya mentaddabur isi kandungan Al Quran sebagai panduan kepada umat manusia memecahkan pelbagai masalah yang melanda kemanusiaan, termasuklah tuntutan hak asasi manusia yang semakin rumit dan menjadi kontroversi akibat penyelewengan fahaman tersebut.

Kandungan ucapan Perdana Menteri harus disambut dengan baik oleh kerana penzahiran hasrat dan komitmen Kerajaan Pusat memperbaiki keadaan hak asasi manusia tampak terus diusahakan selagi tidak bercanggah dengan kedaulatan Islam menurut fasal 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan nilai-nilai kesederhanaan di dalam budaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Sementara kita boleh menerima prinsip-prinsip tertentu hak asasi manusia, khususnya yang telah disaring melalui sumber-sumber muktabar hukum Islam, isu yang menjadi perlu diwaspadai ialah fahaman human rights-ism – suatu bentuk agama sekular baru yang sudah mulai berkembang pesat di dalam Negara akibat kesan langsung lobi gerakan hak asasi manusia liberal-sekular di luar negara.

Fahaman ini yang berasaskan pemikiran ‘humanisme’, ‘sekularisme’ dan ‘liberalisme’, bersifat songsang sementelah ia mengagung-agungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata, serta menolak sebarang sistem nilai merangkumi normal agama dan adab-susila. Kesan fahaman ini terjelma dengan jelas, sebagai contoh, di dalam kontroversi tuntutan-tuntutan batil COMANGO semasa sesi Semakan berkala Sejagat di Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva tahun lepas.

Pengkagum-pengkagum Hak Asasi Manusia yang taksub serta masih tidak sedar tentang ancaman fahaman human rights-ism ini seharusnya terlebih dahulu membaca karya Anthony Julius, sarjana Barat di dalam karya beliau ‘The Trials of the Diaspora’ (2010) yang menggunakan istilah fahaman human rights-ism tersebut untuk mendedahkan bahaya ketaksuban Hak Asasi Manusia sebagai agama sekular baru – ‘the new secular religion’.

Beliau menulis, “”A human rights discourse now dominates politics; there is a powerful human rights “movement”. It is the new secular religion of our time…This new ‘human rights-ism’ accords great value to the United Nations – notwithstanding its inability to enforce its decisions, and its refusal to make practical demands of its members to be democratic or respect the human rights of their citizens.”

Bukan sahaja wacana fahaman berbahaya ini sudah mendominasi politik di kalangan masyarakat dunia, malah memberikan nilai terhadap fungsi serta peranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang pada hakikatnya menjadi semakin tidak berkesan. Malah Tan Sri Razali Ismail seorang diplomat ulung Negara yang pernah menjawat kedudukan presiden Perhimpunan Agung PBB (UNGA) 1996-1997 telah menyatakan kekecewaannya dengan kegagalan badan dunia tersebut semasa melancarkan karya penulisan beliau bertajuk “A UN chronicle: 1988-1998) di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Wisma Putra pada 30 April lalu. Beliau turut menggesa usahasama kerajaan dan masyarakat awam untuk memperbaiki PBB yang telah terjerumus di dalam isu pembaziran masa dan wang akibat siri-siri perhimpunan yang berlangsung tanpa resolusi yang mantap dan berkesan di dalam menyelesaikan isu-isu global.

Jika kritikan Tan Sri Razali dilihat sebagai desakan berterusan tokoh-tokoh dunia untuk memperbaiki PBB, maka amaran Dato’ Seri Najib tentang bahaya fahaman human rights-ism merupakan peringatan agar fahaman tersebut tidak kekal mendominasi dan merosakkan niat dan tujuan asal Perisytiharan Hak Asasi Manusia PBB 1948 yang sepatutnya memperkukuh tiang kewujudan PBB demi kemaslahatan tamadun manusia.

Malah, kegagalan PBB terus mendapat kritikan sarjana mutakhir Barat, seperti yang dinyatakan di dalam karya Stephen Hopgood “The Endtimes of Human Rights” (2013) yang mengkritik kegagalan regim kontemporari Hak Asasi Manusia. Menurut Stephen Hopgood “Whether it is the increase in deadly attacks on aid workers, the torture and ‘disappearing’ of al-Qaeda suspects by American officials, the flouting of international law by states such as Sri Lanka and Sudan, or the shambles of the Khmer Rouge tribunal in Phnom Penh, the prospect of one world under secular human rights law is receding. What seemed like a dawn is in fact a sunset. The foundations of universal liberal norms and global governance are crumbling.”

Kegagalan fahaman liberal-sekular yang mendominasi gerakan hak asasi manusia menzahirkan kewujudan pelbagai tuntutan-tuntutan hak asasi manusia tidak munasabah yang menghakis kedaulatan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan. Yang terhasil ialah tuntutan-tuntutan untuk membenarkan gejala murtad berleluasa, desakan penghapusan kedudukan istimewa bumiputera di dalam fasal 153 Perlembagaan Persekutuan, desakan pengiktirafan hak-hak LGBTIQ yang menjurus ke arah hak perkahwinan sejenis, tuntutan menghapuskan institusi Islam seperti Mahkamah Syariah, Majlis-majlis agama Islam dan Jabatan-jabatan agama Islam serta beberapa tuntutan kontroversi lain yang mencabar kedaulatan Negara. Oleh yang demikian fahaman human rights-ism tidak boleh dibiarkan terus bermaharajalela sebagai suatu agama di dalam horizon gerakan hak asasi manusia.

Malah, jika para sarjana Barat sendiri sudah mulai sangsi serta mengecam ideologi liberal-sekular Hak Asasi Manusia, mengapa masih wujud pentaksub-pentaksub di Malaysia yang ghairah menjunjung fahaman Hak Asasi Manusia berkerangka Barat yg sesat dan akhirnya mahu menghancurkan tamadun manusia?

Sebaliknya, agenda yang memurnikan kembali gerakan hak asasi manusia perlu dipelopori Negara seperti Malaysia serta dilakukan secara berhikmah, strategik dan bersepadu seperti melalui Suruhanjaya Tetap Bebas OIC mengenai Hak Asasi Manusia yang ditubuhkan pada 2011. Dari sejumlah 18 negara yang menggangotai Suruhanjaya tersebut, Turkey dan Malaysia dilihat sebagai sangat berpotensi untuk memimpin artikulasi bagi mengenengahkan matlamat syariat Islam tentang hak asasi manusia.

Seperti yang telah disepakati para ulama termasuklah As Syatibi dan Al Ghazali bahawa matlamat syariat berkenaan merangkumi lima komponen maqasid yang sangat mustahak iaitu Hifz al-Aql (akal), Hifz al-Din (agama), Hifz al-Mal (harta), Hifz al-Nafs (nyawa) dan Hifz al-Nasb (keturunan), iaitu setiap perundangan hukum itu mesti bertujuan melindungi atau memelihara kepentingan akal, agama, harta, nyawa dan nasab atau keturunan umat manusia. Penulis percaya bahawa seruan Dato’ Seri Najib bukanlah mengarah kepada membawa Malaysia dari PBB sebagai jalan penyelesaian mendepani fahaman human rights-ism ini. Mesej yang ingin dibawa adakah kita mahu terus menerima prinsip-prinsip Hak Asasi Manusia mengikut fahaman liberal-sekular Barat atau memilih untuk mencorak sendiri fahaman Hak Asasi Manusia menurut pandangan alam Islam dan tamadun yang tidak bercanggah fitrah kemanusiaan? Prinsip-prinsip hak asasi manusia perlu dilaksanakan di dalam kerangka maqasid syariah, yang merupakan seumpama tembok yang sifatnya menjadi pemelihara dan penjamin kesejahteraan hidup manusia, bukan fahaman liberal-sekular yang bernama human rights-ism yang sekadar bermatlamat membuka pintu kebebasan nafsu manusia yang tiada berpenghujung.

AZRIL MOHD AMIN ialah seorang peguam, dan mengetuai MuslimUPRo, iaitu delegasi petubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan ke Semakan Berkala Sejagat di Geneva, Switzerland.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s