Keruntuhan gerakan hak asasi manusia sekular

Ketika menutup Kongres NGO Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 28 Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin telah buat sekian kalinya menegaskan sikap konsisten kerajaan Malaysia dalam mendepani ancaman fahaman hak asasi manusia yang melampaui batas keagamaan. Menurut Muhyiddin, “Paling ketara adalah wacana mengenai hak asasi manusia yang membawa nilai-nilai pemikiran sekular-liberal Barat yang berbeza dengan konsep hak asasi manusia di dalam Islam”. Beliau juga menegaskan bahawa wacana itu telah mempromosi beberapa kepercayaan mengenai hak asasi manusia yang terpesong daripada landasan agama, termasuk kepercayaan terhadap hak individu tanpa batas yang bertentangan dengan nilai dan prinsip akidah Islam dan menyemarakkan tuntutan-tuntutan batil songsang yang mahukan kebebasan mengamalkan gaya hidup LGBT.

Ucapan beliau konsisten dengan pendirian terdahulu YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, yang telah menzahirkan amaran tentang bahaya fahaman human rights-ism, yakni percubaan menjadikan fahaman hak asasi manusia sebagai suatu agama baru yang tidak terbatas dan akhirnya boleh menghancurkan tamadun manusia jika tidak dipandu prinsip-prinsip Islam dan nilai-nilai kemanusiaan yang munasabah menurut pandangan agama.

Umat Islam, khususnya yang mendokong usaha proaktif pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGI) dalam menangani cabaran-cabaran tuntutan batil hak asasi manusia perlu mengambil iktibar dan bersepakat mendepani isu besar ini. Kongres NGO Islam yang dianjurkan agensi-agensi Islam tersebut bukan sahaja telah disokong pelbagai NGI yang berada di barisan hadapan usaha dakwah, pendidikan dan ekonomi umat Islam, tetapi telah menghasilkan 7 resolusi utama yang menjadi kerangka gerakan memperkasa kegiatan dakwah yang semakin mendapat perhatian masyarakat. Antara resolusi utama termasuklah menyeru penegasan Kerajaan Pusat dalam mempertahankan kedaulatan Islam menurut Artikel 3(1) dan artikel 37(1) Perlembagaan Persekutuan, serta menzahirkan sokongan NGI terhadap gerakan memurnikan fahaman hak asasi manusia agar menurut prinsip-prinsip yang digariskan shariah, melalui penubuhan Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).

Pada hakikatnya, gerakan hak asasi manusia yang sarat mengandungi unsur-unsur sekularisme dan liberalisme sedang berdepan dengan keruntuhan. Pendedahan terbaru beberapa pemegang anugerah utama Hadiah Keamanan Nobel bersama-sama lebih 100 sarjana terkemuka baru-baru ini telah menjadikan kredibiliti NGO hak asasi manusia utama Human Rights Watch (HRW) semakin dipersoalkan. HRW jelas rapat dengan kuasa-kuasa besar terutamanya Washington lantas menghilangkan kebebasannya dalam mengkritik salah laku hak asasi manusia. HRW sering memburuk-burukkan Malaysia serta memberikan persepsi salah terhadap keadaan hak asasi manusia di negara ini. Mereka juga telah campurtangan apabila mempersoalkan keputusan mahkamah berhubung kes liwat yang melibatkan ketua pembangkang, serta memanipulasi isu tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian dengan menuduh kononnya tidak wujud ‘kebebasan beragama” di negara ini. Melalui gerakan di gelanggang antarabangsa, HRW juga telah bersekongkol dengan COMANGO demi mempengaruhi lobi untuk menekan Malaysia supaya memansuhkan seksyen 377 Kanun Kesiksaan, yang menjenayahkan kesalahan liwat.

Surat kepada HRW tersebut telah dihantar pada 12 Mei lalu bagi pihak pemenang anugerah Nobel termasuk Adolfo Pérez Esquivel dan Mairead Maguire; bekas penolong setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Hans von Sponeck; Richard Falk yang merupakan Jurulapor Khas PBB Mengenai Hak Asasi Wilayah-wilayah Palestin bersama lebih 100 sarjana terkemuka.

HRW yang berperanan aktif dalam mengemukakan laporan terhadap negara-negara di seluruh dunia, tetapi berdiam diri apabila situasi pelanggaran hak asasi manusia berlaku di Amerika Syarikat sendiri. Surat tersebut antara lain telah menyebutkan dua contoh. Dalam surat kepada Presiden Chávez pada tahun 2012, HRW mengkritik pencalonan Venezuela untuk Majlis Hak Asasi Manusia PBB, mendakwa bahawa negara tersebut telah jatuh “jauh dari piawaian yang boleh diterima” dan mempersoalkan yang “keupayaan untuk berkhidmat sebagai suara yang boleh dipercayai mengenai hak asasi manusia.”

Tetapi pada masa yang sama keanggotaan AS dalam majlis yang sama tidak menerima sebarang celaan dari HRW, walaupun pelanggaran hak asasi manusia Washington khususnya berkenaan penahanan haram individu di Teluk Guantanamo Bay telah diketahui umum secara meluas.

Begitu juga, pada bulan Februari 2013, HRW telah menyifatkan ‘haram’ penggunaan peluru berpandu oleh Syria di dalam perang saudara di negara tersebut. Walau bagaimanapun, HRW membisu mengenai pelanggaran undang-undang antarabangsa yang terjadi akibat ancaman AS melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Syria pada bulan Ogos.

Sikap HRW ini hanya merupakan sekelumit simptom kemunafikan gerakan hak asasi manusia sekular. Di peringkat ASEAN pula, kita menghadapi masalah berhubung Myanmar yang telah mempengerusikan Mesyuarat Tertinggi ASEAN pada tahun ini, tetapi membiarkan dengan sengaja pembunuhan beramai-ramai, penderaan, perkosaan dan pengusiran etnik Rohingya yang beragama Islam di negara mereka. Sikap hipokrit Myanmar ini diburukkan dengan laungan mereka untuk meratifikasi pelbagai konvensyen hak asasi manusia di peringkat global, walaupun pada hakikatnya mereka tidak serius untuk melaksanakan perubahan sebenar keadaan hak asasi manusia di kalangan rakyatnya.

Sikap hipokrasi di kalangan mereka yang cuba menonjolkan diri sebagai juara hak asasi manusia ini ternyata terhasil dari kerangka sekular dan liberal yang melatari fahaman hak asasi manusia. Sebaliknya, seperti yang telah ditegaskan Muhyiddin, umat Islam khususnya yang menggabungkan diri dengan NGI perlu merujuk kembali pada Deklarasi Kaherah mengenai Hak Asasi Mansia di dalam Islam yang telah diisytiharkan pada tahun 1990. Walaupun telah terlewat lebih 40 tahun semenjak Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR) diasaskan pada tahun 1948, namun usaha yang strategik dan bersepadu perlu diperkasakan kembali sejajar dengan sikap konsisten kepimpinan negara mengenengahkan acuan hak asasi manusia menurut persepktif tradisi Islam, seperti yang tergambar melalui komiten positif Malaysia apabila menandatangani Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN pada bulan November 2012, penyertaan Malaysia di sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) yang lalu, serta peranan dan potensi Malaysia sendiri sebagai salah sebuah negara anggota OIC melalui Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia yang telah ditubuhkan OIC pada tahun 2011. Hal ini diperakui sendiri Duta OIC ke PBB di Geneva Sliman Chaikh yang mengharapkan Malaysia dan Turki memimpin kesedaran baru mengenai hak asasi manusia menurut perspektif Islam untuk dijadikan panduan di kalangan keseluruhan negara-negara anggota OIC.

Justeru umat Islam perlu bersegera dalam memahami dan menekuni isu-isu gerakan hak asasi manusia supaya artikulasi perspektif Islam dapat difahami dengan baik lantas fahaman berbahaya yang menganut idea sekular liberal dapat dihapuskan. Peranan CENTHRA sebagai institusi milik NGI dan umat Islam secara keseluruhannya dapat memandu hasrat ini. Selain menguasai medan perbahasan dan lobi di peringkat ASEAN, OIC dan PBB, CENTHRA sebagai pencernaan muafakat dan iltizam umat Islam dalam menyediakan acuan hak asasi manusia yang tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip shariah perlu diberikan sokongan padu daripada kalangan pemimpin dan aktivis NGI, ‘alim ulama dan sarjana yang masih kukuh keikhlasan, iltizam dan keyakinan untuk menyelamatkan manusia dari tuntutan melampau hak asasi manusia.

AZRIL MOHD AMIN ialah seorang peguam dan merupakan pengerusi/ ketua delegasi MuslimUPRO iaitu gabungan delegasi pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan di Semakan Berkala Sejagat, Geneva, Switzerland.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s