Pemerkasaan pendekatan IPHRC

Diterbitkan di sini.

Suruhanjaya Tetap Bebas Hak Asasi Manusia (IPHRC) yang dianggotai 18 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah direalisasikan penubuhannya pada bulan Jun 2011 bagi mencari langkah pemerkasaan hak asasi manusia dari perspektif Islam. Malaysia, selain Turki dan Indonesia, merupakan anggota yang aktif dan menonjol telah turut menyumbang secara berkesan segi pendekatan yang berupaya meningkatkan taraf pencapaian hak asasi manusia di kalangan negara-negara anggota OIC.

Sebagai salah satu langkah memulihkan peranan OIC melalui penggunaan mekanisme ke arah memperkukuh dan melindungi hak asasi negara anggotanya, IPHRC telah mencapai kata muafakat untuk memberi fokus utama terhadap perbincangan mengenai Tatacara Prosedurnya, di samping memberi tumpuan terhadap isu kontemporari berkaitan agenda hak asasi manusia di peringkat sejagat.

Di awal penubuhannya, IPHRC telah memutuskan bahawa hak daripada segi sivil, politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan di negara anggota OIC, keadaan hak asasi manusia di Palestin dan wilayah Arab lain yang diduduki Israel pada 1967 dan isu hak asasi manusia dalam agenda OIC akan menjadi perkara tetap dalam agenda suruhnjaya itu.

Dalam syor yang dikemukakan kepada majlis Menteri-Menteri Luarnya, IPHRC telah menawarkan untuk membantu negara anggota, jika diminta berbuat demikian, dalam bidang penting seperti memenuhi keperluan mekanisme hak asasi manusia. Ini adalah peranan yang perlu diperkasakan, melihat pada cabaran semasa melibatkan pencabulan hak asasi manusia terhadap negara anggota OIC.

IPHRC juga menggalakkan setiap negara anggota memanfaatkan kepakaran yang dimiliki suruhanjaya itu dengan merujuk perkara berhubung hak asasi manusia dan undang-undang berkaitan kepadanya untuk mendapatkan pandangan serta khidmat nasihat, selain turut membincangkan sumbangan nilai-nilai Islam terhadap hak asasi manusia yang diiktiraf sejagat serta mengiktiraf peri pentingnya kerjasama dalam kalangan negara anggota OIC, termasuk melalui perkongsian amalan baik.

Setelah kira-kira dua tahun mesyuarat rasmi pertama IPHRC berlangsung bagi memutuskan perkara-perkara tersebut di atas, mesyuarat terkini pada 1-5 Jun 2014 yang lalu telah sekali lagi menyentuh isu keganasan Israel, selain mendalami perbincangan Islamophobia, impak negatif akibat sekatan ekonomi unilateral terhadap negara anggota, situasi minoriti Muslim Rohingya, situasi hak asasi manusia di Republik Afrika Tengah serta pembentukan mekanisme untuk memantau pencabulan hak asasi manusia di kalangan minoriti Muslim. Mutakhir ini dunia Islam kini kembali berdepan dengan pencabulan hak asasi manusia yang getir, khususnya serangan Zionis yang berleluasa terhadap masyarakat awam di Palestin, skala pembunuhan etnik Muslim Rohingya di Myanmar yang semakin serius dan penindasan kaum Uighur di China. Justeru kapasiti IPHRC perlu dinilai kembali agar lebih menyerlah peranan serta keberkesanan tindakannya terhadap isu-isu pencabulan hak asasi manusia mesyarakat Islam.

Dalam hal ini, peranan Malaysia yang mempunyai kedudukan utuh peranan Islam perlu dioptimumkan bagi memimpin fokus dan arahtuju IPHRC. Keistimewaan kedudukan Islam melalui Perkara 3(1), Perkara 37(1) Jadual Keempat serta Perkara 12(2) di dalam Perlembagaan Persekutuan dan pelbagai jaminan undang-undang sama di peringkat pusat mahupun melalui Undang-undang Tubuh dan Enakmen-enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri memperkukuhkan kedudukan Malaysia untuk menyerlahkan model pencapaian hak asasi manusia di kalangan negara-negara anggota OIC. Keupayaan Malaysia membentuk pendekatan wasatiyyah di dalam mentadbir sebuah masyarakat berbilang agama menerbitkan harapan di kalangan negara anggota OIC lain dan contoh ikutan bagi menzahirkan acuan hak asasi manusia mesra tamadun manusia tanpa meninggalkan kerangka Islam. Kepimpinan kerajaan bertunjangkan Melayu-Islam yang telah diuji ini perlu berperanan lebih jauh lagi bagi memaksimumkan peranan IPHRC sebagai platform membaiki pencapaian hak asasi manusia menurut acuan sendiri, tidak terikut dengan model liberal-sekular Barat yang memberi kebebasan hak asasi manusia tanpa batas.

Bagi menggarap harapan tersebut, Malaysia boleh menimbangkan perkara-perkara berikut melalui keahliannya di dalam IPHRC sebagai pendekatan dan strategi jangka panjang:

  • Mencipta rangkaian masyarakat sivil dengan pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGI) yang memfokus pada usaha meningkatkan pencapaian hak asasi manusia menurut kerangka syariah. IPHRC perlu mempunyai sayap masyarakat sivil yang tersendiri bagi berperanan menasihat serta berkongsi kepakaran dan pengalaman NGI di dalam menangani situasi hak asasi manusia;

  • Memfokus pada usaha melatih lebih ramai di kalangan sarjana dan ilmuwan Muslim, di samping para aktivis NGI untuk turut didedahkan dengan mekanisme hak asasi manusia yang sedia berjalan di Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), termasuk menguasai kefahaman dan kepakaran di dalam instrumen-instrumen undang-undang antarabangsa dan di peringkat ASEAN di dalam pelbagai aspek hak asasi manusia. Hal ini penting sekiranya IPHRC mahu mewujudkan mekanisme pemantauan pencabulan hak asasi manusia tersendiri;

  • Menggerakkan usaha kerjasama yang strategik dan utuh di antara IPHRC dan institusi penyelidikan dan advokasi berorientasikan Islam, seperti Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (‘Centre for Human Rights Research and Advocacy – CENTHRA) di Malaysia yang diilhamkan hasil permuafakatan NGI yang bergabung di bawah MuslimUPRo, iaitu gabungan delegasi NGI ke Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva, Switzerland;

  • Memperkasakan pendidikan hak asasi manusia menurut kerangka pandangan Islam, yang memberikan pencerahan tentang hakikat insan, fahaman agama dan akhlak serta peranan manusia di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai manusia sebelum menuntut hak-haknya di muka bumi ini, dan secara khususnya menurut kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan akidah, syariah dan akhlak umat Islam di rantau nusantara;

  • Menyemarakkan penyelidikan hak asasi manusia menurut perspektif Islam dalam usaha menggalakkan usaha advokasi dan dialog dengan NGO-NGO hak asasi manusia yang berkerangka faham liberal-sekular dan memandang hak asasi manusia dari perspektif barat semata-mata.

Dalam keadaan semasa, sistem hak asasi manusia sejagat yang sedia ada dikuasai sifat imperalisme negara-negara Barat yang bertopengkan moralisme. Maka umat Islam dan negara-negara anggota OIC tidak harus terus meletakkan harapan pada sistem hak asasi manusia sejagat sedia ada untuk mencari jalan keluar menyelesaikan tragedi pembunuhan beramai-ramai, Islamophobia serta pelanggaran hak asasi manusia di kalangan masyarakat Islam.

Setelah lebih 60 tahun fahaman liberal-sekular melatari Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR) 1948 dan akhir-akhir ini dikatakan semakin gagal menyelamatkan pelanggaran hak asasi manusia di kalangan negara-negara anggota PBB sendiri, maka umat Islam tidak patut hanya menunggu tindakan melalui mekanisme hak asasi manusia badan dunia tersebut. IPHRC perlu mencetus pendekatan yang lebih dinamis dan bertenaga di dalam melaksanakan tindakan menyelamatkan pencabulan hak asasi manusia, khususnya di kalangan umat Islam.

AZRIL MOHD AMIN ialah seorang peguam yang mengetuai MuslimUPRo, iaitu Delegasi Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan ke Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva, Switzerland

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s