CENTHRA berlandaskan acuan Islam

Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia, (Centre for Human Rights Research and Advocacy) atau ringkasnya CENTHRA yang telah mula berfungsi semenjak 1 Mei lalu adalah bukti permuafakatan pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGI) dan selesainya giliran Malaysia membuat penerimaan akhir di pusingan kedua Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva, Switzerland pada bulan Mac 2014. Idea penubuhan CENTHRA diasaskan pada keperluan mendesak untuk menyediakan rangka pemikiran dan strategi jangka panjang kefahaman dan tindakan memperbaiki keadaan hak asasi manusia di Malaysia yang menurut perspektif serta pandangan alam Islam. CENTHRA yang didaftarkan sebagai sebuah entiti tidak berorientasikan keuntungan, berfungsi sebagai medium penyelidikan dan advokasi yang terlibat secara langsung dalam menangani isu-isu hak asasi manusia di peringkat nasional, serantau dan khususnya di peringkat Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva.

CENTHRA tidak mengikuti secara melulu acuan mahupun tafsiran prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat yang sedang giat dilaungkan pelbagai NGO hak asasi manusia di Malaysia. CENTHRA memperakui kedudukan Islam di dalam negara ini, melalui Fasal 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas idea serta kerangka inisiatif mempertahankan hak-hak asasi warganegara Malaysia menurut Bahagian Kedua, Fasal-fasal 5 hingga 13 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan jaminan perlindungan bagi ‘Fundamental Liberties” atau kebebasan asasi, istilah yang paling dekat digunakan sebagai maksud hak asasi manusia di negara ini.

Bagaimanakah CENTHRA berbeza dengan NGO-NGO hak asasi manusia yang lain? Pertama, CENTHRA akan mencernakan idea, konsep dan falsafah hak asasi manusia menurut kerangka maqasid syariah, yang mempertahankan hak seseorang insan atas lima perkara, iaitu memelihara agama (Hifzu ad-Din), memelihara nyawa (Hifzu al-Hayah), memelihara akal (Hifzu al-Aqli), memelihara keturunan (Hifzu an-Nasab) dan memelihara harta (Hifzu al-Mal). Pemeliharaan kelima-lima perkara ini perlu diberikan perhatian sewajarnya dan ditempatkan semula di dalam keutamaan fokus tamadun kontemporari yang sedang hilang arah punca dalam usaha memartabatkan hak asasi manusia.

Kedua, CENTHRA tidak mengasingkan penglibatan penyelidikan dan advokasinya dari ruang dialog dan “engagement” dengan NGO-NGO yang berfahaman liberal-sekular, khususnya yang berada di negara-negara Barat. Pengalaman MuslimUPRo selaku gabungan delegasi NGI yang terlibat secara langsung di dalam proses melobi dan UPR di Geneva semenjak awal tahun 2013 menunjukkan betapa NGO-NGO hak asasi manusia tersebut sangat dahagakan maklumat dan perspektif yang tepat dari dunia Islam mengenai gambaran sebenar pencapaian, usaha serta panduan memperbaiki hak asasi manusia di negara-negara majoriti Muslim.

Ketiga, usaha sebenar untuk memperbaiki keadaan hak asasi manusia tidak dinilai melalui desakan ataupun dikira dari banyaknya jumlah konvensyen antarabangsa yang telah ditandatangani sesebuah negara Islam. CENTHRA perlu menggerakkan lobi bagi menilai semula kesan ratifikasi sesebuah konvensyen hak asasi manusia. Malah, negara-negara Barat sendiri mutakhir ini telah menimbulkan beberapa kritik serius tentang komitmen terhadap usaha memperbaiki keadaan hak asasi manusia negara-negara yang menandatangani banyak konvensyen hak asasi manusia tetapi pada hakikatnya tidak seius di dalam memperbaiki keadaan sebenar hak asasi manusia di negara masing-masing.

Keempat, CENTHRA akan bermula dengan usaha mencipta rangkaian masyarakat sivil dengan pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGI) yang memfokus pada usaha meningkatkan pencapaian hak asasi manusia menurut kerangka syariah. CENTHRA telah menyatakan pendirian agar Suruhanjaya Tetap Bebas Mengenai Hak Asasi Manusia (IPHRC) OIC mengaktifkan sayap masyarakat sivil yang tersendiri bagi berperanan menasihat serta berkongsi kepakaran dan pengalaman NGI di dalam menangani situasi hak asasi manusia. Selain itu, CENTHRA juga akan memfokus pada usaha melatih lebih ramai di kalangan sarjana dan ilmuwan Muslim, di samping para aktivis NGI untuk turut didedahkan dengan mekanisme hak asasi manusia yang sedia berjalan di Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), termasuk menguasai kefahaman dan kepakaran di dalam instrumen-instrumen undang-undang antarabangsa dan di peringkat ASEAN di dalam pelbagai aspek hak asasi manusia. Hal ini penting sekiranya IPHRC mahu mewujudkan mekanisme pemantauan pencabulan hak asasi manusia tersendiri.

Untuk membezakan pendekatan CENTHRA dalam menangani isu hak asasi manusia, CENTHRA telah mula membangunkan modul pendidikan hak asasi manusia menurut kerangka pandangan Islam, yang memberikan pencerahan tentang hakikat insan, fahaman agama dan akhlak serta peranan manusia di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai manusia sebelum boleh menuntut hak-haknya di muka bumi ini, dan secara khususnya menurut kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan akidah, syariah dan akhlak umat Islam di rantau nusantara. Selain itu, CENTHRA juga bertekad menyemarakkan penyelidikan hak asasi manusia menurut perspektif Islam dalam usaha menggalakkan usaha advokasi dan dialog dengan NGO-NGO hak asasi manusia yang berkerangka faham liberal-sekular dan memandang hak asasi manusia dari perspektif barat semata-mata.

Iltizam dan usaha yang dicetuskan CENTHRA bukanlah berbentuk adversarial semata-mata – yakni bertembung idea dan pendekatan dengan setiap NGO hak asasi manusia yang berfahaman liberal-sekular di setiap forum, wacana dan sesi mengenai hak asasi manusia. Sebaliknya, CENTHRA menawarkan perspektif segar dari khazanah tradisional Islam mengenai hak asasi manusia, yang terjelma di dalam pendekatan Malaysia mengurus kemajmukan masyarakat Islam dan Non-Muslim serta kepelbagaian bangsa dan suku kaum di Malaysia. Pada hakikatnya, kekuatan ini terzahir melalui penceranaan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan, yang tidak menjadi lesen untuk umat Islam menzalimi kaum non-Muslim, tetapi pada masa yang sama menjadi pasak panduan berguna buat kaum non-Muslim menghormati kedudukan Islam di negara ini, sesuai dengan prinsip “aman dan harmoni’ yang menjadi prasyarat setiap penganut agama di negara ini menjalankan kegiatan keagamaan mereka. Selagi hal ini dipatuhi dan disanjung tinggi, selagi itulah maksud hak asasi manusia sebenar dapat direalisasikan di dalam dunia ini yang menerbitkan keamanan sebagaimana yang telah dikecapi Malaysia selama ini.

Peranan CENTHRA sebagai kumpulan advokasi yang melobi isu-isu hak asasi manusia juga akan diserlahkah di peringkat ASEAN dan antarabangsa bagi mendedahkan sikap hipokrit NGO-NGO hak asasi manusia Barat yang kebanyakannya bersikap hipokrit apabila isu hak asasi umat Islam diketengahkan. Contoh yang paling nyata ialah sikap membisu dan tidak proaktif PBB terhadap pembunuhan rakyat Palestin diakibatkan serangan tentera zionis. Selain itu, hakikat regim Myanmar yang mendabik dada kononnya mahu mendahului negara lain dalam meratifikasi konvensyen-konvensyen hak asasi manusia, tetapi pada masa yang sama terlibat dalam jenayah perang membunuh dan mengusir ribuan masyarakat Islam Rohingya, jelas mengetuk dhamir kita untuk mendedahkan pendirian hipokrit ini dan mengubah arahtuju perjuangan melindungi hak asasi umat Islam. Kedua-dua contoh ini menjadi antara isu yang diperjuangkan CENTHRA di persada antarabangsa dengan mengikut lunas dan mekanisme hak asasi manusia yang sepatutnya digunakan untuk mencapai maksud sebenar pencapaian standard hak asasi manusia.

Justeru peranan CENTHRA perlu disokong NGI dan diberikan ruang sewajarnya di pelbagai platform demi mengoptimumkan pengalaman dan kepakarannya dalam menangani isu hak asasi manusia. Selain itu, pembinaan khazanah ilmiah yang berkualiti yang diusahakan CENTHRA, selain penghasilan ilmuwan dan aktivis Muslim yang kompeten dalam isu hak asasi manusia semasa juga akan membantu kearah pembentukan horizon baru perjuangan hak asasi manusia yang lebih adil, saksama dan memperkasa tamadun manusia.

AZRIL MOHD AMIN ialah seorang peguam dan merupakan Pengarah Eksekutif CENTHRA

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s