ärˈtikyələt

│Azril Mohd Amin's personal views

Cadangan Memperkasa Akta Hasutan 1948

Seperti yang dilaporkan media pada 22 Julai 2014, bekas ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamed telah menggesa agar Akta Hasutan 1948 tidak dimansuhkan kerana ia dilihat sebagai benteng mengekang perbuatan menghasut berkaitan agama Islam, perpaduan dan kedudukan Melayu termasuk anak-anak Sabah dan Sarawak di negara ini. Beliau berkata, pemansuhan akta berkenaan bermakna membenarkan sesiapa sahaja yang tidak berpuas hati dengan hal kepentingan Melayu dan agama Islam boleh menghasut agar keistimewaan itu terhapus. Kata Tun Abdul Hamid: “Kita lihat ada kumpulan yang mahukan akta ini dimansuh kerana mereka telah mula menyebabkan Melayu berpecah-belah, mempengaruhi pemimpin Melayu bekerjasama dengan mereka dan menyebabkan perpecahan undi Melayu.” Tun Abdul Hamid menegaskan bahawa usaha mengekalkan Akta Hasutan juga sebagai usaha mengekalkan perlembagaan negara sedia ada.

Sebelum itu, beberapa tokoh Negara juga telah bersuara agar Akta Hasutan 1948 dikekalkan dengan penambahbaikan demi kebaikan umum. Hal ini dinyatakan termasuk oleh bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohamaed Hanif Omar, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengerusi MAS yang juga pengamal undang-undang, Tan Sri Zaman Khan, bekas ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan beberapa tokoh lain. Malah, Professor Salleh Buang, seorang pengamal undang-undang yang sangat berpengalaman apabila memberikan komentar tentang Rang Undang-undang Jenayah Kebencian Agama dan Kaum (RUUJKAK) yang dicadangkan untuk menggantikan Akta Hasutan tersebut telah menyatakan: “Pendek kata, manakala seksyen 3, 4 dan 5 dalam RUUJKAK ini boleh dikatakan mengambil kira sebahagian daripada enam situasi kecenderungan menghasut dalam seksyen 3(1) Akta Hasutan yang disebutkan di atas tadi, nyata sekali RUUJKAK gagal memberi tumpuan kepada isu menimbulkan kebencian kepada institusi kehakiman negara dan paling teruk sekali RUUJKAK sama sekali gagal memberi tumpuan kepada perkara-perkara sensitif, seperti yang terdapat dalam perenggan (f) seksyen 3(1) itu. Kesimpulannya, RUUJKAK ini mengecewakan. Akta Hasutan sedia ada jauh lebih baik daripadanya. Atas asas itu, barangkali wajar talian hayat terus diberi kepada Akta Hasutan dan kerajaan tidak terlalu terburu-buru memansuhkannya.” (“Talian Hayat Untuk Akta Hasutan”, Utusan Malaysia, 24 Jun 2014).

Pandangan para tokoh perundangan dan negarawan di atas wajar dipertimbangkan secara mendalam oleh kerajaan dalam menerokai jalan ke hadapan menentukan kedudukan akta tersebut. Pelbagai lapisan masyarakat juga telah mulai sedar akan peri pentingnya undang-undang tersebut di dalam mengekalkan keharmonian dan kestabilan Negara, melalui sifatnya yang mengawal dan memelihara situasi-situasi yang boleh mewujudkan keadaan perbuatan menghasut. Pada 10 Ogos lalu, Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin telahpun menyatakan kesediaan meminda akta tersebut bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu yang menggunakan media sosial untuk menghina agama atau menyebar kenyataan berunsur hasutan tanpa mengira kaum dan agama.

Seruan YAB Timbalan Perdana Menteri diperkukuhkan dengan pendirian Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein pada 15 Ogos yang mahukan Akta Hasutan diperkasakan dengan secepat mungkin ekoran pelbagai penghinaan yang kian berleluasa sejak kebelakangan ini. Beliau yang juga Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundangan UMNO berkata, perkara itu merupakan sesuatu yang wajar diperjuangkan bagi mengimbangi kebebasan bersuara serta hak individu dengan perkara pokok yang boleh menghancurkan negara. Kata beliau, “Jika undang-undang sedia ada tidak cukup untuk mempertahankan institusi raja serta semua agama yang ada di negara ini daripada dihina, maka tiada sebab untuk UMNO tidak memperjuangkan perkara ini (memperkasa Akta Hasutan).

Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman telah melakarkan aspek sejarah yang sangat penting untuk difahami di sebalik akta ini. Rusuhan kaum Mei 13, 1969 telah memberikan kita pengajaran yang sangat penting. Pada ketika itu Majlis Gerakan Negara dan Majlis Perundingan Negara yang bertanggungjawab ke atas situasi yang berlaku, telah mengenal pasti beberapa isu sensitif yang telah menjadi punca terhadap tercetusnya kejadian malang tersebut. Jika tidak kerana tindakan pantas yang diambil oleh Kerajaan untuk mengawal keadaan, ia boleh menyebabkan bencana nasional yang lebih besar.

Isu-isu tersebut adalah berkaitan dengan empat peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang telah diklasifikasikan sebagai “isu-isu sensitif” seperti berikut:

  1. Kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana negeri-negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain. (Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan);

  2. Bahasa kebangsaan negara (Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan);

  3. Peruntukan kewarganegaraan sebagaimana yang dinyatakan dalam Bahagian III Perlembagaan Persekutuan; dan

  4. Kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja seperti yang dinyatakan dalam Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan telah diambil untuk meminda Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa peruntukan-peruntukan di atas hanya boleh dipinda bukan sahaja dengan prosedur biasa untuk mendapatkan persetujuan majoriti dua pertiga daripada ahli-ahli Parlimen tetapi juga perlu mendapatkan kebenaran daripada Majlis Raja-Raja.

Perkara 63 (4) Perlembagaan Persekutuan juga telah dipinda untuk memberi kesan bahawa dalam Parlimen, tiada siapa yang dibenarkan untuk mempersoalkan isu-isu di atas.

Memandangkan sensitiviti isu-isu di atas, akta tersebut telah dipinda dengan menambah seksyen 3 (1)(f) – mempersoalkan mana-mana dari empat isu tersebut di atas adalah dianggap sebagai “kecenderungan menghasut” dan mana-mana orang yang mempersoalkan apa-apa isu-isu itu melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 4 Akta Hasutan. Jadi tidak tepat tuduhan yang mengatakan bahawa akta ini adalah warisan penjajah. Pada hakikatnya, pindaan yang dibuat menggambarkan perubahan sesuai dengan tuntutan dan realiti masyarakat Malaysia.

Isu-isu yang melanda Negara akhir-akhir ini justeru perlu ditangani dengan terus memperbaiki akta tersebut kearah pemerkasaannya. Untuk mencapai maksud ini, pindaan yang dicadangkan boleh memasukkan Perkara 3 dan 11 (agama Islam) ke dalam perenggan (f) seksyen 3(1). Cadangan pindaan ini akan mencegah sebarang kecenderungan atau perlakuan menghasut yang boleh menyebabkan penghinaan terhadap agama dilakukan, khususnya terhadap Islam sebagai agama persekutuan.

Cadangan pindaan kearah memperkasakan akta ini ini perlu dinilai secara objektif dan dilakukan berdasarkan keperluan dan realiti semasa di Negara kita. Cadangan ini juga tidak boleh dilihat dari perspektif dan keghairahan mencapai “standard hak asasi manusia” semata-mata, oleh kerana jatuh bangun Negara dalam aspek keharmonian, perpaduan dan ketenteraman nasional amat bergantung pada realiti budaya, sejarah dan faktor keagamaan, dan berbeza dengan Negara-negara lain yang juga mempunyai alasan dan latarbelakang tersendiri dalam menentukan peruntukan undang-undang masing-masing. Hanya dengan yang demikian Malaysia akan dapat meneruskan usaha mengekalkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum menurut acuan tersendiri.


Azril Mohd Amin ialah seorang peguam dan Pengarah Eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Information

This entry was posted on August 17, 2014 by and tagged , , , , .

Hours & Info

+603-8861-7707
Lunch: 1pm - 2pm
Dinner: M-Th 5pm - 11pm

Top Clicks

  • None

Blog Stats

  • 135,214 hits
August 2014
F S S M T W T
« Jul   Sep »
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
293031  

Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 610 other followers

Follow me on Twitter @azrilmohdamin

%d bloggers like this: