Tangani Isu Rohingya dengan berkesan

Isu penderitaan minoriti umat Islam Rohingya di bawah regim Myanmar terus mendapat perhatian masyarakat sejagat, walaupun tiada usaha berkesan setakat ini yang benar-benar serius dilaksanakan oleh mana-mana pihak untuk menamatkan kesengsaraan mereka. Maklumat terbaru mengenai isu tersebut terkandung di dalam laporan mengenai Myanmar telah dibentangkan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon pada sesi ke-69 Persidangan Agung PBB yang berlangsung di New York dari 16 September hingga 1 Oktober lalu. Laporan tersebut menimbulkan kebimbangan serius berhubung ketegangan kaum dan agama yang mengakibatkan keganasan berterusan terhadap umat Islam Rohingya. Kebimbangan tersebut timbul walaupun Ban memuji usaha kerajaan Myanmar untuk maju dengan usaha-usaha pembaharuan demokratik yang sering dilaung-laungkan para pemimpinnya.

Ban menyatakan bahawa keadaan ini membimbangkan terutamanya di negeri Rakhine, lokasi di mana jurang perpecahan antara penganut Buddha dan masyarakat Islam semakin luas dan keadaan di kem-kem bagi orang pelarian pula semakin merosot.

Di dalam laporan tahunannya kepada Jawatankuasa Ketiga PBB itu, Ban mendedahkan bahawa ketegangan mendalam antara kaum dan agama telah muncul semula di seluruh negara lantas menimbulkan keganasan berlanjutan, serta mengakibatkan kehilangan nyawa, penyusutan populasi dan pemusnahan harta benda.

Jawatankuasa Ketiga PBB, yang memberi tumpuan pada hak asasi manusia, akan membincangkan laporan Ban mengenai Myanmar, yang juga dikenali sebagai Burma, pada minggu-minggu akan datang. Jawatankuasa tersebut juga dijangka menerima pakai resolusi mengenai kebimbangan mereka – satu ritual tahunan yang juga melibatkan Iran, Korea Utara dan Syria.

Pada hakikatnya, kebanyakan daripada 1.1 juta orang Islam Rohingya tidak mendapat taraf kerakyatan dan hidup di bawah rejim dan keadaan “apartheid” khususnya di negeri Rakhine, kawasan pantai barat negara tersebut yang majoriti penduduknya beragama Buddha. Hampir 140,000 orang Rohingya terus dipindahkan selepas pertempuran maut dengan etnik Rakhine Buddha meletus pada tahun 2012. Menurut Ban, kutukan daripada pemimpin Myanmar telah tidak menambah baik keadaan yang berlaku. Seterusnya laporan tersebut menyebutkan walaupun kerajaan Myanmar telah berkali-kali membuat kenyataan yang tegas bahawa tindakan perlu diambil terhadap pelaku keganasan, gesaan tersebut tidak berkesan di peringkat akar umbi.

Ternyata kandungan laporan Setiausaha Agung PBB mengenai isu umat Islam Rohingya tersebut bercanggah dengan kenyataan Menteri Luar Myanmar, Wunna Maung Lwin yang mahukan isu Myanmar dikeluarkan dari agenda Hak Asasi Manusia PBB atas alasan Negaranya telah mengambil tindakan-tindakan perlu untuk menyelesaikan kebimbangan masyarakat dunia mengenai pencabulan hak asasi manusia khususnya terhadap minoriti umat Islam Rohingya. Malah, Myanmar juda sedang dikecam hebat pelbagai organisasi hak asasi manusia kerana mengumumkan rancangan untuk memaksa identiti “bengali” ke atas masyarakat Rohingya sebagai syarat mendapat pengiktirafan kewarganegaraan.

Myanmar tertakluk pada penelitian tahunan di Jawatankuasa Ketiga PBB, New York dan di Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva. Ternyata tindakan tersebut telah semenjak sekian lama menimbulkan kemarahan para pemimpin Myanmar. Kendatipun begitu, persidangan PBB pada kali ini menyaksikan sikap konsisten diplomat Barat yang menyatakan kerajaan dan delegasi dari lebih 50 negara-negara Islam bersetuju bahawa Myanmar harus kekal di bawah pengawasan PBB bagi masa hadapan.

Sikap hipokrit Myanmar ini mestilah dihentikan segera. Di peringkat PBB, berkemungkinan pendedahan laporan Setiausaha Agungnya akan sekadar menarik perhatian para perwakilan serta diplomat asing buat sementara waktu. Kenyataan bersifat diplomasi dan helah politik sebagaimana yang dilakukan Menteri Luar Myanmar menyelamatkan Negara tersebut dari terus dihujani kritikan masyarakat antarabangsa. Malah laporan Ban bakal tinggal sebagai lembaran sejarah yang berakhir di arkib PBB. Tidak menghairankan juga jika Negara-negara lain akan kembali menyantuni Myanmar atas kepentingan ekonomi dan sebab-musabab lain. Malah, banyak Negara dan organisasi Hak Asasi Manusia akan kembali terpedaya dengan janji dan komitmen Myanmar untuk meningkatkan keadaan dan pencapaian hak asasi manusia Negara tersebut. Inilah yang telahpun terjadi sebagai contoh terhadap Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang terpesona dengan tindakan Myanmar yang mengisytiharkan untuk menandatangani lebih banyak konvensyen antarabangsa Hak Asasi Manusia. SUHAKAM lantas menyatakan bahawa Malaysia akan suatu hari ketinggalan di belakang Myanmar segi pencapaian Hak Asasi Manusia hanya berdasarkan jumlah Konvensyen HAM yang diratifikasi. Namun ternyata sikap Myanmar tidak cocok dengan pandangan cetek tersebut.

Apa jua hakikatnya, Malaysia bakal mempengerusikan persidangan ASEAN tahun hadapan. Malah komitmen cemerlang yang pernah dizahirkan selaku memimpin Pertubuhan Kerjasasama Islam (OIC) sedikit masa dahulu perlu dioptimumkan bagi memecahkan kebuntuan isu penderitaan umat Islam Rohingya ini. Malaysia perlu berhemah tetapi tegas memastikan agar Myanmar komited menyelesaikan isu ini. Bagi mencapai maksud tersebut, semangat setiakawan, solidariti dan kemanusiaan serantau ASEAN perlu menjadi teras pada pendekatan yang hendak digunakan.

Di dalam Negara kita, tindakan yang proaktif, jujur, komprehensif dan berkesan perlu dilakukan untuk menyelamatkan pelarian Rohingya yang terlalu ramai menderitai kesan pengusiran mereka dari tanah air tercinta. Rakyat Negara ini perlu lebih prihatin dengan nasib mereka, manakala kerajaan tidak boleh berselindung di sebalik apa jua alasan untuk tidak membantu pelarian Rohingya dengan bersungguh-sungguh dan melalui penyelesaian yang komprehensif dan bersifat jangka panjang. Model yang berkesan termasuklah menyediakan Pelan Tindakan Umat Islam Rohingya yang menyeluruh bagi mengenalpasti keberadaan semasa mereka, mendapatkan statistik tepat dan memastikan mereka dapat melalui skim latihan yang dapat mempersiapkan mereka dengan kemahiran berguna untuk menjalani kehidupan sebagai manusia biasa. Hal ini juga sebenarnya menyelamatkan mereka dari terjerumus di dalam kancah gejala sosial, jenayah dan seumpamanya yang jika tidak ditanagni secara berkesan, akan secara langsung mendatangkan bahaya kepada masyarakat tempatan. Bagi anak-anak pelarian Rohingya pula, sudah tentu memberikan peluang pendidikan asas agar mereka dapat menguasai kemahiran asas kecelikan akal merupakan hadiah yang sangat bermakna buat membina masa depan mereka.

Selain itu, penulis percaya bahawa pendekatan kesederhanaan sejagat yang dianjurkan YAB Perdana Menteri akan lebih bermakna sekiranya diwujudkan mekasnime permuafakatan yang jelas dan berkesan melalui penglibatan Negara-negara yang bersedia memastikan pelarian Rohingya yang layak diberikan peluang penempatan (resettlement) ke Negara-negara tersebut agar dapat memberikan peluang kehidupan yang lebih baik, sekiranya mereka tidak dapat kembali ke tanahair sendiri. ASEAN ataupun OIC perlu menambahbaik perlaksanaan mekanismenya. Justeru, sebagai contoh, peranan Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia OIC (IPHRC) dan Sekretariat ASEAN perlulah dioptimumkan sebagai sekretariat tetap yang akan memastikan perlaksanaan model seumpama ini Berjaya dilaksanakan dengan berkesan.

Mercu kejayaan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun 2015 kelak akan lebih bersinar gemilang dan dapat dicontohi Negara lain sekiranya isu penderitaan Rohingya ini dapat ditangani dengan berkesan dan menyeluruh mengikut semangat setiakawan, solidariti dan kemanusiaan serantau ASEAN.

AZRIL MOHD AMIN ialah seorang peguam dan ketua eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s