Detik Aspirasi & Harapan NHRAP

Semenjak tahun 1950, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan 10 Disember sebagai Hari Hak Asasi Manusia, demi meningkatkan perhatian Negara-negara anggotanya terhadap Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR 1948) sebagai standard umum keberhasilan pencapaian dan komitmen hak asasi manusia untuk semua bangsa.

Pada tahun ini, tema “Hak Asasi Manusia 365” telah dipilih dengan iltizam memperkukuh gagasan bahawa ‘setiap hari adalah Hari Hak Asasi Manusia’. Tema ini berhasrat meraikan proposisi asas UDHR 1948 bahawa setiap manusia di seluruh pelusuk dunia, pada setiap saat berhak atas pelbagai macam hak asasi manusia, bahawa hak asasi manusia adalah milik bersama setiap individu dan mengikat setiap manusia bersama sebagai masyarakat sejagat dengan cita-cita dan nilai-nilai bersama.

Di Malaysia khususnya, pelbagai pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) akan meraikan hari tersebut, sebagai memperbaharui komitmen mereka untuk melaksanakan citra hak asasi manusia yang dianggap sejagat. Keghairahan mereka di sepanjang dua dekad yang lalu jelas terzahir dengan munculnya pelbagai gerakan hak asasi manusia sama ada yang bersifat jalanan mahupun di forum-forum antarabangsa yang menobatkan tokoh-tokoh hak asasi manusia yang mereka sanjungi dan diharapkan dapat memperbetulkan kompas hak asasi manusia di Malaysia. Justeru timbul pebagai gerakan mutakhir ini yang bergerak atas idea dan semangat tersebut, seperti Joint Action Group for Gender Equality (JAG) (yang ditubuhkan seawal 1985), Interfaith Commission (IFC), Gabungan NGO Malaysia di dalam Proses UPR (COMANGO), BERSIH dan Negaraku.

Hasrat dan ketaksuban mereka hanya satu, iaitu supaya Malaysia lebih mematuhi prinsip-prinsip sejagat hak asasi manusia yang pada hakikatnya mempunyai sejarah dan acuan liberal-sekular Barat, berhujahkan bahawa ratifikasi lebih banyak konvensyen dan instrumen hak asasi manusia antarabangsa merupakan ‘bukti kepatuhan standard’ hak asasi manusia sesebuah Negara. Ini semua dilakukan dengan sokongan dan lobi berterusan NGO antarabangsa seperti Human Rights Watch, Amnesty International, Forum ASIA, International Gay and Lesbian Human Rights Commission (IGLHRC), International Commission of Jurists dan pelbagai NGO lain. Sama ada gerakan tersebut memahami realiti sejarah, agama dan budaya Malaysia tidak menjadi ukuran penting. Sebaliknya, bagi NGO-NGO tempatan yang berkompromi dengan mereka, NGO antarabangsa tersebut merupakan penetap standard terbaik untuk Malaysia.

Tetapi benarkah wujud hanya satu acuan dan standard pencapaian hak asasi manusia yang dijunjung NGO tersebut di atas? Persoalan ini timbul kembali dengan rancak khususnya semasa majlis bersama CSO dan NGO mengenai Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) yang dianjurkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri, di Bangi pada 13 November lalu.

Kerajaan telah pada 2012 memulakan proses perbincangan dan perbahasan kearah mewujudkan NHRAP dengan YB Dato’ Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri di JPM ketika itu, semasa merasmikan “Seminar on the Development of National Human Rights Plan of Action for Malaysia” juga dianjurkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), JPM di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) pada 24 dan 25 Mei 2012, menggariskan EMPAT INTIPATI PENTING dalam merangka NHRAP, iaitu 1)Pemerkasaan hak asasi manusia menuntut komitmen serius daripada semua pihak berkenaan, 2) Mengambilkira komitmen-komitmen yang dibuat Kerajaan Malaysia semasa di Sesi Semakan Berkala Sejagat 3) Mengenalpasti dan mengutamakan insiatif utama sedia wujud pihak kerajaan dan 4) Kesemua hasil NHRAP hendaklah mematuhi Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memaktubkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan. Perkara-perkara asas tersebut ditegaskan sekali lagi baru-baru ini oleh YB Hajjah Nancy Shukri, Menteri di JPM yang mahukan fokus NHRAP pada hak sivil dan berpolitik, hak ekonomi, sosial dan kebudayaan; golongan rentan; hak orang asli, bumiputera Sabah dan Sarawak serta kewajipan antarabangsa – kesemuanya dipersiapkan menurut acuan dan realiti Malaysia. Fokus lebih spesifik itu akan membantu negara menangani pelbagai isu hak asasi terutama membabitkan kes fahaman songsang seperti liberalisme dan sekularisme yang semakin menular di negara ini.

Penegasan perkara-perkara tersebut di atas adalah mesej jelas bahawa Malaysia tidak perlu terikat secara mutlak dengan kesemua nilai-nilai di dalam UDHR 1948. Sikap konsisten kerajaan ini sebenarnya tidak bercanggah dengan kedudukan sedia ada, berdasarkan beberapa kes utama yang pernah diputuskan mahkamah-mahkamah tertinggi iaitu Merdeka University Berhad v Government of Malaysia [1981] 2 MLJ 356. Dalam kes itu, di Mahkamah Tinggi, antara hujah peguam Michael Biloff, bahawa penolakan petisyen Plaintif bercanggah peruntukan Perkara 26 UDHR. telah ditolak oleh Hakim Eusoffe Abdoolcader apabila Yang Arif menegaskan: “It (UDHR) is merely a statement of principles devoid of any obligatory character and is not part of our municipal law“.

Di dalam kes Mohamed Ezam bin Mohd Noor v Ketua Polis Negara (and 4 Other Appeals) [2002] 4 AMR 4053, Siti Norma CJ(M) menjelaskan seterusnya bahawa memandangkan prinsip-prinsip UDHR 1948 adalah bersifat “pengisytiharan” semata-mata, maka prinsip-prinsip tersebut tidak mempunyai kuasa undang-undang atau mengikat negara-negara anggota (Since such principles are only declaratory in nature, they do not, I consider, have the force of law or binding on Member States).

Di dalam kes terkini, penghakiman Hakim Mohamad Ariff dalam kes SIS Forum (Malaysia) v Dato’ Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar (Menteri Dalam Negeri) [2010] 2 MLJ 377 antara lainnya telah mengulangi penegasan institusi kehakiman di Negara ini apabila beliau menyatakan: “……in relation to the applicability of international norms……. the position adopted by the Malaysian courts has been not to directly accept norms of international law unless they are incorporated as part of our municipal law: See Merdeka University Berhad v Government of Malaysia [1981] 2 MLJ 356, for example. I do not believe this position has changed even with the passing of s 4(4) of the Human Rights Commission Act 1999…………”

Maka 10 Disember ini sepatutnya bukan semata-mata mengulangi prinsip-prinsip hak asasi manusia berkerangka fahaman liberal-sekular Barat, tetapi mesti menjadi titik tolak memperbaharui iltizam Malaysia dalam mengikuti prinsip-prinsip sejagat hak asasi manusia selagi mana tidak bercanggah dengan kandungan Perlembagaan Persekutuan. Usaha strategik dan artikulatif yang dikemudi pihak Kerajaan perlu diperkukuh berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan latarbelakang sejarah, budaya dan agama. Malah Perkara 5 Perisytiharan dan Pelan Tindakan Vienna 1993 (VDPA 1993) tidak mengenepikan terus hal-hal tersebut.

Rujukan terhadap Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan merupakan cerminan sumbangan Islam terhadap pemeliharaan hak asasi manusia, menurut pendekatan Maqasid al-Syari’ah, (maksud-maksud atau tujuan-tujuan syari’ah) yang telah dibahaskan oleh para alim ulama Islam. Hak asasi bukanlah hak mutlak manusia kerana manusia bukanlah pemilik ke atas dirinya. Manusia dimiliki oleh Allah SWT maka diharamkan membunuh diri, walaupun nyawanya, duduk di dalam dirinya, dia tidak bebas untuk melakukan aksi yang bercanggah aturan fitrah. Nyawa dan dirinya bukan milik mutlaknya tetapi milik Allah selaku amanah. Konsep ini ditolak pemikiran Barat yang melihat hak asasi manusia sebagi bersifat anthroposentris, iaitu manusia menjadi ukuran segala-galanya dengan otonomi manusiawi, demokrasi, kebebasan sosial dan ekonomi dikuasai manusia tanpa panduan nilai agama dan budaya. Sebaliknya, Islam meletakkan manusia tidak boleh memiliki kebebasan mutlak, tetapi mesti dipandu syarak. Oleh yang demikian berdasarkan perspektif ini, NHRAP perlu digubal berpandukan pemeliharaan lima hak yang wajib, iaitu agama, nyawa, akal, keturunan, termasuk nama baik, dan harta.

Penglibatan pemegang berkepentingan atau “stakeholders’ dari kalangan pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil, termasuk pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGI) juga perlu dilakukan secara agresif dan menyeluruh dan berterusan menerusi perbincangan berkala demi melahirkan sebuah NHRAP yang tidak tinggal sebagai dokumen idealis semata-mata, tetapi benar-benar lahir dari hasrat hati setiap masyarakat Malaysia yang benar-benar memahami, menghayati dan menyanjung tinggi hak asasi manusia yang murni. Hasrat dan aspirasi tema “Hak Asasi Manusia 365” akan dapat direalisasikan dengan baik tanpa mengorbankan agama dan budaya atas nama kebebasan mutlak. Lantas mengingati tarikh 10 Disember setiap tahun akan menjadi lebih bermakna dan menjadi platform merekayasa acuan hak asasi manusia model Malaysia.

AZRIL MOHD AMIN ialah seorang peguam dan Ketua Eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s