Tahun Memperkasa Hak Asasi

Rencana ini telah disiarkan di ruangan rencana UM.

DUA peristiwa penting telah berlaku di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menjelang berlabuhnya tirai penutup tahun 2014. Pertama, Perhimpunan Agung PBB pada 29 Disember 2014 meluluskan resolusi menggesa Myanmar untuk memberikan ‘kewarganegaraan penuh’ kepada minoriti Rohingya Islam bertujuan membolehkan mereka bergerak bebas di seluruh negara tersebut.

Resolusi yang telah diterima pakai secara konsensus menekankan ‘kebimbangan serius perhimpunan tersebut’ mengenai layanan Myanmar terhadap minoriti Rohingya. Ketetapan tersebut menghantar mesej yang jelas dari 193 negara anggota PBB bahawa masyarakat antarabangsa secara bersepadu ­ingin perubahan dalam layanan terhadap kaum minoriti itu.

Resolusi tersebut akan melin­dungi hak lebih 1.3 juta masyarakat Rohingya yang selama ini telah dinafikan kewarganegaraan di bawah undang-undang negara dan hampir tidak mempunyai hak sebagai warganegara. Pihak berkuasa Myanmar mahu secara rasmi mengkategorikan mereka sebagai ‘Benggali’ yang membayangkan mereka adalah pendatang haram dari negara jiran seperti Bangladesh. Sikap ekstrem tersebut akan dihentikan melalui resolusi seumpama ini.

Kedua, pada 30 Disember 2014, Majlis Keselamatan telah menolak draf resolusi untuk mengiktiraf negara Palestin yang merdeka dan penamatan pendudukan Israel. Draf resolusi tersebut hanya berjaya mendapat lapan undi positif, manakala Amerika Syarikat dan Australia mengundi menentang manakala Britain, Rwanda, Nigeria, Korea Selatan dan Lithuania berkecuali. Pada saat rencana ini ditulis, Presiden Palestin Mahmoud Abbas sedang berusaha untuk memasukkan semula draf resolusi tersebut demi mendapatkan sokongan penuh kesemua 15 negara anggota Majlis Keselamatan.

Kedua-dua peristiwa tersebut di atas jelas menunjukkan kerapuhan gerakan hak asasi manusia, yang sebahagian besarnya didominasi kuasa politik dunia seperti Amerika Syarikat dan Britain, yang dikawal secara proksi oleh entiti haram Israel. Sementara kita yakin bahawa kerajaan Myanmar, oleh sebab kedegilannya dan sifat anarkinya belum tentu akan patuh pada resolusi yang diluluskan bagi mengiktiraf kewarganegaraan Rohingya, kita juga akan terus menyaksikan kebimbangan Amerika Syarikat dalam menyokong sebarang resolusi menentang keganasan Israel. Sikap ini juga amat bercanggah dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia yang sering dilaung-laungkan negara barat.


Kedua-dua peristiwa ini juga merupakan kesan langsung lobi NGO-NGO hak asasi manusia di pentas PBB. Mereka membentuk sikap dan pandangan umum tentang sesuatu isu dan memastikan bahawa resolusi yang hendak dibawa dapat mempengaruhi negara anggota PBB bagi mencapai matlamatnya. Kedua-dua resolusi mengenai Pa­lestin dan Rohingya, merupakan isu yang telah lama diperjuangkan NGO-NGO hak asasi bagi membela nasib masyarakat yang sekian lama dizalimi dan dinafikan hak mereka.

Dua cabaran besar ini, yang terkait secara langsung dengan pe­ranan Malaysia, dijangka terus mendominasi dan mewarnai pentas hak asasi sejagat pada tahun ini. Malaysia berada pada kedudukan yang strategik untuk memimpin inisiatif ini pada tahun 2015, dengan bermulanya tugas negara sebagai Pengerusi ASEAN di peringkat serantau dan sebagai anggota bukan tetap Majlis Keselamatan PBB.

Di peringkat ASEAN, Malaysia perlu berusaha untuk memastikan resolusi mengenai Myanmar tersebut dilaksanakan dalam semangat prinsip setiakawan dan kerjasama utuh dalam kalangan anggotanya. Usaha ini sebenarnya masih berada di dalam kerangka Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN 2012, yang menjamin hak setiap individu warganegara anggota untuk menjalani kehidupan dengan baik dan tidak dizalimi, sebagai contoh seperti yang dinyatakan di dalam Artikel 14, 15 dan 38 Deklarasi tersebut. Sekiranya di peringkat antarabangsa konsensus yang utuh telah dicapai kesemua 193 negara anggota PBB, maka ASEAN tidak sepatutnya membiarkan pelanggaran hak minoriti Rohingya terus terjadi pada tahun-tahun berikutnya.

Begitu juga, peranan Malaysia perlu diperkukuhkan di Majlis Ke­selamatan PBB dengan menegaskan prinsip self-determination (penentuan nasib sendiri) bagi rakyat Palestin. Apabila konsep penentuan nasib sendiri mula timbul semasa Perang Dunia Pertama, ini bermakna hak sesuatu kaum untuk menentukan kedaulatannya ke atas kawasan di mana ia tinggal. Ini me­rupakan prinsip yang pernah disahkan Pre­siden Wilson apabila membuat keputusan untuk negaranya menyertai Perang Dunia Pertama. Walaupun hak untuk menentukan nasib sendiri telah tidak dimasukkan ke dalam teks Piagam Pertubuhan Liga Bangsa-bangsa (League of Nations), hak tersebut adalah tersi­rat di dalam wacana yang berkaitan dengan perlindungan minoriti. Hanya apabila Piagam PBB dirumuskan setelah Perang Dunia Kedua maka penentuan nasib sendiri secara terbuka dan jelas disebutkan dalam bab Pertama, Artikel 1(2) dan Bab Kesembilan, Artikel 55 Piagam PBB. Hak ini perlu diperjuangkan Malaysia.

Kita perlu insaf dan mengambil iktibar atas perkembangan ini. Di negara kita sendiri, penentuan naratif hak asasi manusia yang berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan dan beracuankan latar belakang sejarah, agama dan realiti kebudayaan masyarakat Malaysia perlulah dilakukan secara bijaksana dan berterusan. Hal ini demikian kerana semenjak akhir-akhir ini corak pemikiran anarkis malangnya semakin mendominasi gerakan hak asasi manusia atas nama kesederhanaan (moderate) dan toleransi.

Dengan bertopengkan pelbagai NGO yang kononnya berstatus antarabangsa, individu dan NGO-NGO tempatan menggunakan saluran media perdana dan alternatif untuk memasukkan jarum halus pemikiran yang mengelirukan masyarakat tentang perkara-perkara yang sebenarnya telah pun selesai termaktub di dalam sejarah dan Perlembagaan Persekutuan serta tidak wajar dimanipulasi sebagai pelanggaran hak asasi manusia.

Perkara-perkara yang sudah pun jelas diputuskan terus dicabar dan sebarang usaha mempertahankannya akan diberikan label yang buruk seperti ‘ekstremis’, ‘perkauman’ dan sebagainya. Kumpulan-kumpulan hak asasi ini dengan sengaja mewujudkan provokasi-provokasi terhadap kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan dan hubungannya dengan agama-agama lain, kebebasan bersuara, hak-hak minoriti dan perkara-perkara tertentu bagi memberi justifikasi perjuangan hak asasi manusia ala anarki mereka. Ini semuanya dilakukan sebagai sebahagian cerminan pemikiran anarki yang berusaha memburukkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.


Sepatutnya, mereka memperjuangkan hak asasi yang absah seper­timana hak-hak kaum Rohingya dan Palestin diperjuangkan di pentas antarabangsa. Ini tidak dilakukan. Malah NGO-NGO tersebut berdiam diri terhadap isu seumpama itu.

Hanya dengan kekuatan pendekatan kesederhanaan yang masih wujud di negara kita maka Malaysia akan mampu berperanan mengemudi isu-isu besar seperti Palestin dan Rohingya. Justeru tahun 2015 ini cabaran mentafsir dan menyemarak maksud kesederhanaan yang benar-benar menepati ajaran Islam dan bersesuaian dengan realiti dan kehendak Perlembagaan Persekutuan perlu menjadi fokus. Tanggungjawab ini perlu dikuasai majoriti masyarakat Malaysia yang bencikan sikap anarki dan ketaksuban terhadap fahaman hak asasi manusia berakarkan sumber pemikiran barat yang kini semakin banyak dianuti individu dan NGO hak asasi manusia. Rakyat Malaysia tidak harus membiarkan golongan ini bermaharajalela.

PENULIS ialah peguam dan Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s