Toleransi, Kebebasan Bersuara di Barat Tidak Adil

Telah disiarkan di ruangan rencana, Berita Harian.

Baru-baru ini isu kebebasan bersuara di Malaysia kembali menjadi hangat apabila seorang peguam hak asasi manusia yang juga pengasas bersama Lawyers for Liberty, Eric Paulsen mengeluarkan ungkapan “tweet” yang menuduh JAKIM mempromosi ekstremisme di dalam khutbah Jumaat di seluruh negara. Pihak berkuasa telah menjalankan siasatan terhadap tindakan beliau tersebut. Sama ada tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil ataupun tidak terhadap Eric, secara moralnya beliau telah mengguris perasaan umat Islam di Malaysia dan mengakibatkan prasangka buruk orang bukan Islam terhadap masyarakat Islam. Perbuatan beliau tidak dapat diterima sesiapapun yang berfikiran waras dan cintakan keharmonian beragama di sesebuah negara.

Dewasa ini, ramai yang menuntut hak kebebasan bersuara. Di peringkat sejagat, hak kebebasan bersuara termaktub sebagai hak memberikan pendapat dan berekspresi – “Everyone has the right to freedom of opinion and expression; this right includes freedom to hold opinions without interference and to seek, receive and impart information and ideas through any media and regardless of frontiers” di dalam Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR 1948), yang merupakan salah satu dokumen utama hak asasi manusia yang diisytiharkan Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 10 Disember 1948 di Palais de Chaillot, Paris. Di Malaysia, kebebasan bersuara termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan mengenai “hak warganegara Malaysia dalam bercakap, berhimpun dan berpersatuan”.Walaupun secara jelas dan nyata disebut setiap warganegara berhak kepada kebebasan bersuara dan bercakap, namun kesemua hak tersebut tertakluk pada fasal-fasal lain di dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara yang diperbuat di bawah fasal tersebut.

Contohnya, kenyataan yang berunsur perkauman dan mempunyai kecenderungan menghasut yang boleh mengganggu-gugat keamanan negara perlulah dicegah dan dihalang. Dalam isu Eric Paulsen sebagai contoh, hak bersuara bercanggah dengan hak untuk hidup di dalam suasana aman damai. Perlu diingati bahawa Malaysia tidak bersendirian di dalam hal ini. Di Eropah, United Kingdom sebagai contoh juga mengenakan had yang agak sama. Bahkan, umum mengetahui bahawa hak kebebasan bersuara dan menyuarakan pendapat merupakan hak negatif rakyat negara tersebut di bawah “common law”.

Pada hakikatnya negara-negara di Eropah sedang berdiri pada landasan toleransi dan kebebasan bersuara yang tidak adil. Kes pembunuhan 12 pekerja Charlie Hebdo di Paris 7 Januari adalah salah satu kesan buruk eksploitasi had kebebasan bersuara, bukan sahaja di dalam Islam tetapi dalam mana-mana agama sekalipun. Agak menyedihkan apabila negara Peranchis mengganggap budaya satira merupakan satu tradisi yang dibanggakan, walaupun pada hakikatnya tindakan menghina agama atas nama kebebasan bersuara adalah contoh nilai budaya yang tidak mengenali dan menghormati sensitiviti masyarakat lain. Agenda di sebalik tindakan menyalahgunakan hak kebebasan bersuara ini merupakan kesan sekularisasi yang meletakkan kebebasan individu lebih tinggi dari kemaslahatan masyarakat.

Kehilangan toleransi dan sikap tidak adil negara-negara Barat di dalam isu kebebasan bersuara ini juga mendedahkan kemelut negara-negara Barat dalam menetapkan nilai-nilai hak asasi manusia mereka. Negara Jerman dikejutkan dengan sikap dan tindakan Lutz Bachmann, salah seorang pengasas gerakan masyarakat Eropah yang menentang Islamisasi Barat atau “Patriotic Europeans Against the Islamicization of the Occident” (PEGIDA) memuatnaik gambar-gambar beliau di laman media sosial sebagai “Hitler” yang mencetuskan kemarahan masyarakat Eropah yang sedang memperingati ulang tahun ke 70 peristiwa “Holocaust” pada 27 Januari yang lalu.

Gerakan PEGIDA yang merupakan idea Bachmann muncul pada musim luruh 2014 dan telah menganjurkan siri-siri demonstrasi setiap minggu di Dresden. Apabila bilangan penunjuk perasaan telah mencapai 25,000 orang, PEGIDA telah menarik perhatian yang agak besar dan menjadi punca meningkatnya kebimbangan domestik dan antarabangsa terhadap masyarakat Islam.

Bagi rakyat Jerman berbangsa Yahudi, tingkah laku Bachmann adalah mengejutkan, jelas mengkhianati dan membuktikan kurangnya sensitiviti terhadap perasaan masyarakat tersebut di negara itu. Ternyata mereka juga pada zahirnya berpandangan kebebasan bersuara atau berekspresi perlu ada hadnya. Namun, berita seumpama ini tidak diperbesarkan media Barat kerana perasaan benci mereka terhadap Islam mengatasi sikap toleransi dan keadilan yang sering mereka laung-laungkan apabila bercakap tentang hak asasi manusia.

Sekiranya masyarakat Yahudi sendiri boleh menentang sikap menghina “holocaust” dan menetapkan had kebebasan bersuara, bagaimana pula dengan sikap di kalangan NGO-NGO Hak Asasi Manusia di Malaysia yang terpukau dengan prinsip-prinsip dan fahaman kebebasan ala Barat? Sebelum ini apabila pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee menghina umat Islam di bulan Ramadhan beberapa tahun lalu dan beberapa siri penghinaan terhadap umat Islam dibuat secara berterusan termasuklah episod terkini Eric Paulsen, jelas NGO-NGO Hak Asasi Manusia tersebut kehilangan suara mengkritik mereka yang menghina Islam sebagai agama negara ini. Mungkin organisasi dan NGO seperti Majlis Peguam, IRF, Amnesty International, Sisters In Islam dan SUARAM berdiam diri kerana beranggapan mereka mempunyai “hak kebebasan bersuara” sepertimana mengikut acuan dan kerangka Charlie Hebdo yang menghina Islam melalui budaya satira.

Sikap seumpama ini perlu segera dihalang. Cabaran utama buat Malaysia ialah bagi memastikan golongan yang sengaja mengekspolitasi hak kebebasan bersuara ini untuk mematuhi kembali had-had yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara mengenai kebebasan bersuara dan hak-hak asasi lain. Semua lapisan masyarakat perlu berusaha untuk memastikan bahawa pemuka-pemuka hak asasi manusia yang menjulang fahaman liberalisasi sekular Barat tersebut tidak terus-menerus menyebarkan fahaman salah mereka yang boleh mengelirukan akidah umat Islam, melanggar batas syariah dan meruntuhkan akhlak generasi muda masyarakat Malaysia. Kerangka Perlembagaan Persekutuan, sejarah dan latarbelakang sosial, agama dan budaya masyarakat Malaysia perlu dicermati di dalam melaksanakan sebarang bentuk kebebasan di dalam negara ini.

Bagi kerajaan Malaysia pula, tindakan proaktif sebagai pengerusi ASEAN dan anggota bukan tetap Majlis Keselamatan PBB bermula tahun ini perlu dilakukan segera untuk menyokong usaha kearah pembentukan satu resolusi berhubung kebebasan bersuara pada bulan Mac kelak, yang telah dikemukakan Duta Arab Saudi ke PBB di Geneva, Faisal Trad kepada Suruhanjaya Tinggi OHCHR, Putera Zeid Bin Ra’ad Al-Hussein. Adalah diharapkan agar Malaysia dapat memimpin dan menyumbang secara berkesan terhadap wacana perbahasan resolusi tersebut bagi menggesa agar hak kebebasan bersuara tidak sepatutnya melanggar batasan sehingga menghina agama dan kepercayaan, serta menamatkan segala bentuk penghinaan terhadap Islam.

Usaha ini dilihat mampu menyerlahkan peranan Malaysia sebagai negara Islam yang menggunakan pendekatan wasatiyyah dalam menangani isu-isu hak asasi manusia, khususnya hak kebebasan bersuara yang semakin hilang pedoman akibat keghairahan manusia menyanjung fahaman liberalisasi sekular tamadun Barat.

AZRIL MOHD AMIN ialah peguam dan Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s