Malaysia aset strategik kepemimpinan OIC

Malaysia aset strategik kepemimpinan OIC

Rencana ini ditulis bersempena kunjungan rasmi Tan Sri Dr. Iyad Ameen Madani, Setiausaha Agung OIC ke Malaysia, 14-17 April 2015. Diterbitkan di ruangan rencana, Utusan Malaysia hari ini.

Salah satu cabaran terbesar yang telah digariskan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang baru, Tan Sri Dr. Iyad Ameen Madani yang perlu ditangani pertubuhan tersebut ialah memperkayakan perbahasan hak asasi manusia dengan nilai-nilai dan prinsip-prinsip Islam. Hal ini ditegaskan secara khusus ketika beliau menghadiri sesi keempat Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC) OIC di Jeddah pada 2 Februari 2014, genap kira-kira setahun selepas beliau secara rasminya diisytiharkan sebagai pemegang jawatan tertinggi pertubuhan tersebut. Tan Sri Dr. Iyad menyebutkan secara khususnya isu-isu had-had kebebasan bersuara, kesamarataan gender, perlaksanaan hak asasi manusia yang bersesuaian dengan sistem peundangan dan perlembagaan negara anggota OIC, serta tindakan menyekat ektremisme sebagai antara keutamaan OIC dalam tahun-tahun mendatang. Hal-hal tersebut perlu diberikan penumpuan kerana sedang menjadi antara punca pertentangan utama perbahasan hak asasi manusia di peringkat sejagat ketika ini.

Keprihatinan yang dilahirkan Tan Sri Dr. Iyad sendiri di dalam kenyataan beliau di sidang keempat IPHRC tersebut menyebutkan tentang realiti negara-negara anggota OIC yang telah secara sukarela menerimapakai dan melaksanakan norma-norma hak asasi manusia antarabangsa. Namun begitu, beberapa isu melangkaui skop sebenar hak asasi manusia dan bercanggah dengan ajaran Islam oleh kerana kerana asas kerangkanya berlandaskan fahaman liberal-sekular tamadun barat. Ini adalah diantara realiti yang dihadapi Malaysia di dalam usaha menyeimbangi usaha memberikan had kebebasan yang bertanggungjawab dan amanah mempertahankan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan dan hak-hak kebebasan beragama penduduk berbilang agama di negara ini.

Contoh yang paling ketara ialah berkenaan isu kebebasan bersuara yang sedang hangat diperkatakan dengan pindaan terkini yang diperbuat kerajaan Malaysia bagi memperkasa Akta Hasutan 1948, serta inisiatif kerajaan memperkenalkan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini. Kedua-dua Akta tersebut bukanlah untuk menafikan kebebasan bersuara dan hak-hak kebebasan lain, tetapi merupakan usaha menzahirkan hasrat absah sesebuah kerajaan bagi menangani sikap melampau dalam mempraktikkan hak kebebasan bersuara dan kebebasan asasi lainnya. Bagi Tan Sri Dr. Iyad, isu kebebasan bersuara adalah sesuatu yang asasi (fundamental) tetapi walaupun wujud secara berterusan siri kejadian kebencian dan keganasan yang disebabkan keganasan akibat sikap stereotaip agama dan mendedahkan keaiban individu tokoh agama, masyarakat dan agama, sesetengah negara masih enggan meletakkan batasan atau had pertanggungjawaban terhadap hak dan kebebasan ini.

Malah, negara yang majoritinya beragama Islam yang mempertahankan kehormatan, kemuliaan dan reputasi nilai-nilai agama, kitab suci agama dan tokoh agama demi mempromosi keamanan di kalangan masyarakat dikritik hebat kerana menghadkan kebebasan ini (contohnya melalui undang-undang penghinaan terhadap agama).

Selain itu, cabaran mengekang suara-suara ekstremisme yang wujud di kalangan negara-negara anggota OIC juga perlu ditangani, bagi mengelakkan salah tanggapan bahawa suara-suara tersebut wujud mewakili arus perdana Islam. Usaha ini sudah tentu bertepatan dengan inisiatif Malaysia mengenengahkan pendekatan wasatiyyah di dalam melaksanakan tuntutan Islam di dalam pentadbiran negara dan dalam mengurus kemajmukan masyarakat pelbagai agama di Malaysia. Dengan wujud kerjasama yang lebih utuh di antara kepimpinan OIC dan kerajaan Malaysia, usaha mencerna dan membahas idea wasatiyyah ini akan dapat disebarluaskan di kalangan negara anggota OIC dalam usaha menangani gejala ektremisme dan terorisme.

Adalah diharapkan bahawa kunjungan rasmi Setiausaha Agung OIC ini akan dapat menyerlahkan peranan optimum Malaysia sebagai rakan strategik kepimpinannya. Selain hakikat bahawa OIC adalah pertubuhan kedua terbesar segi rangkuman geografi selepas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), pertubuhan ini juga berbangga dengan fakta bahawa Islam adalah agama pertama yang meletakkan asas yang kukuh mengenai hak-hak kemanusiaan sejagat. Semenjak penubuhannya, OIC telah memulakan usaha mempromosi hak asasi manusia dan kebebasan asasi tersebut, termasuk dan khususnya usaha membela hak wanita dan penglibatan mereka di dalam semua aspek kehidupan, membantu masyarakat minoriti Muslim berdepan dengan cabaran mempertahankan maruah serta identiti budaya dan agama mereka.

Penulis percaya bahawa kepimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dan barisan kepimpinan negara akan memanfaatkan kunjungan hormat ini bagi memperkasa kembali peranan dan gagasan OIC. Piagam OIC telah membentuk IPHRC sebagai salah satu inisiatif mempromosi hak-hak sivil, politik, sosial dan ekonomi yang bersesuaian dengan nilai-nilai Islam. Suruhanjaya tersebut yang telah menubuhkan empat kumpulan kerja yang memfokus isu Palestin, Hak Wanita dan Kanak-kanak, Islamofobia dan Minoriti Islam serta Hak terhadap Pembangunan. Kumpulan kerja tersebut perlu menjadi landasan yang dapat dimanfaatkan Malaysia yang sedang giat meneruskan model tersendiri hak asasi manusia dan usaha pembangunan yang dapat dicontohi pelbagai negara lain. Pada tahun ini khususnya, peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan ahli anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB boleh dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh peranan IPHRC.

Di sinilah juga peri penting peranan dan sumbangan pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGI) perlu diberikan perhatian khusus kepimpinan OIC dan negara anggotanya. Jika di gelanggang hak asasi manusia PBB di Geneva, pengaruh sebilangan NGO dalam membahaskan nilai-nilai dan memperkukuh dan melaksana mekanisme perlindungan hak asasi manusia telah menjadi sangat berkesan, maka OIC seharusnya mengorak langkah memperkasa peranan NGI di dalam menguasai mekanisme hak asasi manusia PBB sedia ada yang sebahagiannya dapat dimanfaatkan untuk mempertahankan hak-hak masyarakat Muslim di kalangan negara anggota. Negara-negara anggota OIC tidak seharusnya dibiarkan bersendirian menerima tanpa usul periksa segala instrumen dan konvensyen hak asasi manusia antarabangsa tanpa memahami implikasi dan tujuannya. OIC melalui IPHRC juga perlu meluaskan skop dan peranannya untuk memberikan tafsiran betul tentang nilai-nilai dan hakikat sebenar hak asasi manusia berlandaskan acuan shariah dan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan fitrah kemanusiaan, sebagaimana yang digariskan Setiausaha Agungnya, di pelbagai forum dan platform.

Azril Mohd Amin ialah seorang peguam dan ketua eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: