ärˈtikyələt

│Azril Mohd Amin's personal views

Mengadili Jenayah Antarabangsa

[ED]: Telah diterbitkan hari ini di ruangan rencana, UM.

KETIKA rencana ini ditulis, Palestin telah memfailkan dossier ke Mahkamah Je­nayah Antarabangsa (ICC)­ pada 25 Jun lalu, sebagai asas penyiasatan a­wal pendakwaraya ICC, Fatou Bensouda bagi mengheret Isra­el ke muka pengadilan atas serang­an terhadap orang awam Palestin pa­da 2014.

Beberapa hari sebelum itu, La­por­an Suruhanjaya Penyiasatan Bebas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Konflik Gaza 2014 dikemukakan ke Majlis Hak Asasi Manusia PBB. Laporan tersebut menjadi satu lagi aspek pembuktian yang mengukuhkan tindakan Palestin untuk memperoleh keadilan di ICC.

Di dalam laporan setebal 217 halaman tersebut, dua pesuruhjaya, Mary McGowan Davis, pakar undang-undang dari Amerika Syarikat dan Dr. Doudou Diene, peguam dari Senegal menyatakan bahawa kumpulan bersenjata Pales­tin jelas berhasrat menggentarkan penduduk awam Israel, tetapi mereka tidak menemui bukti jelas mengapa Israel menyasarkan bangunan-bangunan kediaman di Gaza pada lewat malam yang jelas membahayakan orang ramai.

Mary McGowan yang mengetu­ai suruhanjaya itu semasa sidang akhbar di Geneva berkata, siasat­an berjaya memperoleh testimoni secara objektif. Sungguhpun begitu, setiap pihak dalam konflik ini hanya akan melihat apa yang dikehendakinya dalam laporan seperti ini; iaitu Israel mengutuknya sebagai suatu lagi bukti prasangka PBB yang jelas terhadap mereka manakala Pales­tin pula menganggapnya sebagai memperkukuh usaha mereka meng­hukum Israel di ICC.

Laporan suruhanjaya ini menyatakan tindakan angkatan Israel di Gaza pada amnya tidak dihukum dan menggesa Israel menghentikan amalan mereka selama ini dan mempertanggungjawabkan pesalah. Terhadap kumpulan bersenjata Palestin pula, panel penyiasat menyebut tentang roket dan mortar yang ditembak secara membuta-tuli ke arah orang awam Israel, mengutuk pembunuhan orang yang disyaki bersubahat dan menyatakan bahawa pihak berkuasa Palestin sentiasa gagal membawa pencabul undang-undang antarabangsa ke muka keadilan.

Seperti biasa, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menolak laporan itu serta menggelarnya penuh kecacatan dan berprasangka selain menuduh Majlis Hak Asasi Manusia terlalu bertumpu kepada Israel. Sedangkan kes-kes berke­naan Eritrea, Sri Lanka, Syria dan negara-negara lain juga termasuk di dalam agenda Majlis Hak Asasi Manusia tersebut.

Duta Israel, Ron Prosor pula mendakwa PBB sudah dijadikan tebusan organisasi pengganas, dan masyarakat antarabangsa pasti kerugian. Ini adalah sikap biasa Israel setiap kali perbuatan jahat mereka didedahkan PBB.

Sebaliknya Hamas, kumpulan pembela Islam yang mengawal Gaza, menilai laporan tersebut sebagai kutukan nyata terhadap Israel, yang menunjukkan rejim itu harus dipertanggungjawabkan terhadap jenayah peperangan. Tetapi mereka membelakangkan atau memandang ringan pula kritik­an laporan yang sama terhadap tindakan mereka sendiri.

Laporan itu menyatakan bahawa, tahap kemusnahan ini belum pernah dialami di Gaza, melibatkan lebih 6,000 serangan udara, 14,500 tembakan kereta kebal dan 45,000 peluru artileri dilepaskan antara 7 Julai hingga 26 Ogos. Sengketa itu juga menyebabkan kesengsaraan dan gangguan yang dahsyat terhadap kehidupan penduduk Israel. Menurutnya, setelah menghitung 4,881 buah roket dan 1,753 mortar ditembak oleh pejuang Pa­les­tin dalam tempoh sama, di samping berbincang panjang menge­nai terowong yang digunakan pejuang militan untuk menyusup ke kawasan Israel. Daripada sejumlah 2,252 rakyat Palestin yang terkorban, laporan itu menyatakan 65 peratus adalah orang awam, sedangkan Israel mendakwa bahawa mereka mencatatkan aktiviti militan dilakukan oleh sekurang-kurangnya 44 peratus daripada yang maut.

Laporan berkenaan adalah hasil siasatan terbaru PBB dan pas­tinya pendedahan berkesan dan menggemparkan mengenai pepe­rangan tahun 2014 di Gaza itu. Pada April lepas, sebuah lembaga penyiasatan berasingan, yang dilantik oleh Setiausaha Agungnya, Ban Ki-moon, mendapati bahawa tindakan tentera Israel telah mengorbankan 44 orang awam yang sedang berlindung di dalam bangunan sekolah PBB, yang sepatutnya “tidak boleh dicabul.”

Fokus laporan suruhanjaya itu lebih membincangkan tindakan Israel, tetapi menggunakan nada bahasa sama untuk menyentuh tentang pelanggaran oleh kedua-dua pihak, di samping cara-cara lain yang memastikan keadilan pada laporan tersebut, contohnya menyebut tentang tiga remaja Israel yang diculik dan dibunuh dengan kejam dan juga tentang remaja Pa­lestin yang “dibunuh dengan ganas secara dibakar hidup-hidup.”

Laporan tersebut juga menyebut tentang serangan roket militan dan penyeludupan masuk ke wilayah Israel dahulu dalam ringkasan penemuannya. Dilaporkan bahawa kumpulan-kumpulan Pales­tin mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sedang cuba menem­bak bandar-bandar di Israel, namun senjata mereka tiada sistem berpandu untuk menyasar pada sasaran ketenteraan. Panel membuat kesimpulan bahawa serangan tersebut bersifat “rawak” memba­yangkan bahawa matlamat utama pasukan bersenjata Palestin adalah untuk “menggerunkan penduduk awam dengan cara yang melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.”

Barangkali kutukan yang pa­ling keras ialah terhadap hukuman membunuh 21 penduduk Gaza yang disyaki bersubahat dengan Israel, yang berlaku pada bulan Februari, yang sudah tentunya menurut laporan ini, dianggap sebagai jenayah peperangan.

Panel cuba menjawab persoalan sama ada Israel melakukan jenayah peperangan dengan memeriksa secara teliti sama ada pembunuhan orang awam dilakukan secara sembarangan, sama ada serangan ke atas sasaran ketenteraan itu berpatutan, dan sama ada mereka cukup berhati-hati mencegah kecederaan terhadap orang awam. Dalam aspek ini, laporan tersebut sangat terperinci.

Antaranya menyatakan tindakan tentera Israel sering menggunakan peluru berpandu yang sangat tepat sedangkan serangan banyak dilakukan ketika orang ramai sedang berbuka puasa bersama keluarga pada bulan Ramadan atau semasa tidur, lalu meningkatkan kemungkinan berlakunya kematian dalam kalang­an orang awam. Dalam enam kejadian yang disiasat oleh panel penyiasat, mereka menjumpai sedikit atau tiada langsung maklumat yang dapat menjelaskan kenapa bangunan kediaman “yang pada zahirnya adalah objek-objek awam yang tidak boleh diserang, telah dianggap sebagai sasaran ketenteraan yang sah.”

Dalam sembilan kes lain melibatkan pejuang militan memasuki bangunan kediaman, panel menga­takan terdapat “tanda-tanda yang nyata bahawa serang­an tersebut tidak berpatutan dan oleh itu dianggap sebagai jenayah peperangan.” Amaran Israel kepada penduduk Gaza, termasuklah “ketukan pada bumbung”, iaitu peluru yang lebih ringan ditembak sebelum bom besar dijatuhkan, tidak boleh dianggap berkesan kerana hanya mengelirukan penduduk awam dan tidak memberi mereka kesempatan untuk mengosongkan bangunan.

Sesungguhnya, laporan Suruhanjaya tersebut boleh menjadi pelan bagi pemeriksaan awal yang sudah pun dimulakan oleh pendakwa ICC. Pihak Palestin yang mengemukakan dossier mereka sendiri kepada mahkamah berhubung jenayah oleh Israel pastinya berharap bahawa proses sewajarnya dijalankan dengan telus dan segera agar keadilan bagi mangsa serangan yang tidak berdosa diperoleh.

PENULIS ialah seorang peguam dan Ketua Eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Hours & Info

+603-8861-7707
Lunch: 1pm - 2pm
Dinner: M-Th 5pm - 11pm

Top Clicks

  • None

Blog Stats

  • 135,214 hits
July 2015
F S S M T W T
« Jun   Sep »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31  

Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

Join 610 other followers

Follow me on Twitter @azrilmohdamin

%d bloggers like this: