Rohingya: Sokongan Antarabangsa Terus Meningkat

[ED]: Telah diterbitkan di ruangan rencana, Utusan Malaysia.

BEBERAPA hari lalu, penulis telah mengucapkan selamat bermusafir kepada seorang saudara Rohingya seagama yang dikenali sejak 10 tahun lepas.

Abdul Khalaque, seorang pemuda Muslim Rohingya diberikan tawaran penempatan semula (resettlement) ke Amerika Syarikat (AS) melalui Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR).

Selama menetap di Malaysia, Abdul Khalaque sudah mampu berbahasa Melayu dengan lancar, mempunyai kemahiran asas bekerja dan mampu berdikari mencari rezeki untuk keluarganya. Dia melahirkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga kerana telah mendapat pembelaan secukupnya melalui jasa kerajaan Malaysia dan masyarakat awam yang menghulurkan bantuan sara hidup atas dasar kemanusiaan selama berada di negara ini.

Di dalam kesibukan kita menjalani ibadah di bulan Ramadan ini, penulis percaya ramai yang turut menghulurkan bantuan kepada masyarakat Rohingya di Malaysia. Tetapi mungkin tidak ramai yang menyedari wujudnya kes seumpama Abdul Khalaque yang terpaksa menunggu sehingga 25 tahun sebelum mendapat peluang ke negara yang menjadi tuan rumah program penempatan semula seperti AS, United Kingdom, Norway dan negara-negara Eropah lain.

Di sudut lain, perkembangan di peringkat antarabangsa nampaknya semakin memihak kepada kaum Rohingya. Pada 3 Julai lalu, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menerima pakai satu resolusi yang dikenali sebagai Resolusi 29/L.30 bagi menggesa kerajaan Myanmar untuk melindungi hak-hak semua orang di dalam wilayahnya termasuk Rohingya Muslim. Majlis itu juga menggesa kerajaan Myanmar untuk mengambil semua langkah yang perlu untuk menghentikan amalan diskriminasi terhadap umat Islam dan anggota kumpulan negara, etnik dan agama di Myanmar.

Resolusi itu telah dicadangkan oleh Arab Saudi dan Pakistan bagi pihak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam usaha untuk memastikan akauntabiliti dan menamatkan pencabulan hak asasi manusia, terutamanya terhadap umat Islam. Realiti ini menuntut siasatan yang telus dan bebas terhadap kekejaman yang didakwa dilakukan terhadap Rohingya.

Resolusi itu juga menggesa kerajaan Myanmar untuk menghentikan diskriminasi dan eksploitasi dan mula menyelesaikan punca pembezaan sedemikian. Menurut ketetapan tersebut, kerajaan Myanmar dituntut untuk melindungi semua tempat ibadat semua agama dan membantu orang pelarian kembali ke kampung halaman mereka termasuk orang Islam Rohingya dengan kerjasama masyarakat antarabangsa.

Selaku Pengerusi ASEAN dan anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB, sudah tentu Malaysia boleh melakukan tindakan yang lebih berkesan, bukan hanya bertujuan menzahirkan sokongannya terhadap Resolusi 29/L.30 tersebut, tetapi untuk memastikan agenda jangka panjang nasib kaum Rohingya dapat diwujudkan secara berkesan. Bahkan, resolusi itu jika tidak diambil tindakan pasti akan menyertai ribuan resolusi yang diluluskan berkenaan hak asasi manusia tetapi gagal dilaksanakan dengan baik.

Di peringkat ASEAN, gesaan berterusan perlu dibuat bagi Myanmar menyelesaikan isu domestik yang melanda negara tersebut yang menjadi punca kezaliman terhadap etnik Rohingya. Pada masa sama, kerajaan Myanmar perlu memastikan dasar telus dan menyeluruh untuk menghentikan penindasan terhadap umat Islam. Berkaitan itu, resolusi 29/L.30 tersebut menyeru kerajaan untuk memberikan hak kewarganegaraan penuh kepada umat Islam Rohingya di wilayah Rakhine, dan untuk mengkaji semula Akta Kewarganegaraan bagi tahun 1982. Ini adalah antara penyelesaian domestik yang perlu diambil tindakan segera oleh kerajaan Myanmar.

Di samping meneruskan penyelesaian serantau bagi menangani isu ini, sudah tiba masanya Malaysia menyegerakan usaha penelitian ke arah menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 bersama Protokol 1967. Protokol 1967 merupakan instrumen perundangan antarabangsa berkaitan perlindungan pelarian yang diwujudkan bagi menyelesaikan keterbatasan interpretasi dalam konteks geografi (di Eropah) dan waktu (kejadian yang berlaku sebelum 1951) yang terkandung dalam Konvensyen 1951. Negara yang menandatangani Konvensyen 1951 perlu menyetujui Protokol 1967 bagi memastikan pelarian mendapat perlindungan sewajarnya.

Pada hakikatnya, Malaysia mengamalkan beberapa semangat di dalam aspirasi Konvensyen tersebut khususnya hak untuk mendapatkan bantuan umum/ sokongan (Artikel 23), hak dan kebebasan bergerak (Artikel 26), hak untuk tidak dihantar pulang secara paksa ke negara lain (termasuk negara asal) di mana pelarian mungkin berhadapan penganiayaan (Artikel 33) dan Pengecualian/pembebasan daripada sebarang bentuk hukuman dari memasuki mana-mana wilayah/kawasan di negara parti secara tidak sah (Artikel 31);

Di samping itu, Malaysia boleh melakukan perkara-perkara berikut sebagai pendekatan komprehensif menyelesaikan isu pelarian:

I. Mewujudkan sistem dokumentasi pelarian yang telus, cekap dan berkesan bagi merekodkan secara tepat jumlah pelarian di Malaysia, khususnya yang melibatkan kaum Rohingya. Mungkin usaha sedia ada beberapa NGO tempatan boleh dikenalpasti untuk diselaraskan dalam usaha mewujudkan pangkalan sumber data berpusat. Ini boleh membantu Malaysia memenuhi hak mereka diberikan status/identiti dan dokumen perjalanan sah – (Artikel 27 dan 28);

II. Memastikan penyertaan pelarian di dalam aktiviti orientasi budaya menurut tempoh yang dihadkan, (5 tahun sebagai contoh) bagi memastikan mereka boleh menyesuaikan diri dengan kehendak undang-undang dan realiti budaya di negara ini. Hal ini bertujuan mengurangkan kadar jenayah dalam kalangan pelarian, mengelakkan pergeseran nilai budaya dengan masyarakat tempatan dan mereka memperoleh kemahiran asas bermasyarakat;

III. Menggerakkan usaha pembangunan literasi dan kemahiran asas bekerja untuk pelarian dan anak-anak mereka supaya kemampuan mereka dapat dioptimumkan apabila menerima peluang penempatan semula atau kembali ke negara asal. Sebahagian usaha ini telah dilaksanakan pelbagai NGO tempatan dan amat memerlukan pemerkasaan pihak kerajaan. Sebenarnya, hak ini dijamin sebagai hak untuk mendapatkan pendidikan (Artikel 22);

IV. Malaysia disarankan untuk menimbangkan perlaksanaan hak untuk mendapatkan pekerjaan (Artikel 17). Hal ini membuka ruang sewajarnya untuk mereka menyertai pasaran pekerjaan buruh di sektor-sektor tertentu yang sudah tentu menyumbang pada usaha pembangunan negara secara tidak langsung dan mengurangkan kebergantungan dan keperluan pekerja import baharu dari negara-negara seperti Bangladesh dan Nepal. Adalah lebih bermanfaat sekiranya pelarian Rohingya diberikan peluang meningkatkan kemahiran diri dengan terlibat di sektor-sektor tertentu.

Penulis percaya Malaysia mampu untuk memastikan pelarian mendapat pembelaan sewajarnya melalui perancangan yang lebih tersusun. Tidak bolehkah kita melahirkan contoh seperti Abdul Khalaque yang sejak 25 tahun lalu, dia berusaha memperoleh kemahiran bercakap bahasa Melayu, kemahiran umum pekerjaan asas dan berkemampuan mencari rezeki secara halal? Bukankah untuk tempoh jangka panjang golongan pelarian juga akan dapat memberikan manfaat sekiranya pelan bertindak berpatutan dapat diwujudkan secara adil dan telus?

Pada hemat penulis keempat-empat pendekatan yang dicadangkan mampu menjadi sebahagian usaha kerajaan menangani masalah pelarian Rohingya ini ke tahap yang lebih baik. Melalui strategi yang dicadangkan, mereka akan lebih bersedia dengan kemahiran berbahasa dan asas bekerja apabila menempuh alam baru di negara penempatan semula atau jika masih berpeluang untuk pulang ke negara asal mereka. Sekurang-kurangnya itulah yang patut dipastikan kerajaan Malaysia bagi menjamin kesejahteraan negara dan pada masa sama menghakupayakan golongan pelarian bagi manfaat jangka panjang.

AZRIL MOHD. AMIN ialah seorang peguam dan ketua eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s