Waspada Perangkap TPPA

[ED]: Telah diterbitkan hari ini di ruangan rencana, UM.

Banyak yang telah diperkatakan tentang Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang sedang giat dicanang Amerika Syarikat untuk ditandatangani menjelang akhir tahun ini. Pelbagai pihak khususnya Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), gabungan-gabungan NGO – Bantah TPPA serta pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGI) – telah membuat pendirian jelas mengenai arah tuju yang sepatutnya ditempuh Malaysia. Gesaan mereka jelas – iaitu jangan menandatangani perjanjian tersebut oleh kerana pelbagai kesan yang tidak memihak kepada Malaysia sebagai sebuah Negara yang berdaulat.

Selain hakikat bahawa siri-siri perundingan TPPA dijalankan dengan penuh kerahsiaan, penulis berpandangan bahawa mekanisme Penyelesaian Pertelingkahan Pelabur-Negara (Investor-State Dispute Settlement – ISDS) merupakan isu paling dikhuatiri dan menjadi sebab mengapa Malaysia tidak sepatutnya menyertai perjanjian ini. Mekanisme ini membuka ruang seluas-luasnya bagi para pelabur asing atau syarikat multinasional mengheret sebuah negara yang berdaulat ke sebuah mahkamah timbangtara antarabangsa (international court of arbitration) lantas mengenepikan peranan sistem kehakiman domestik. Mekanisme ISDS boleh menyebabkan sesebuah Negara berdaulat dituntut untuk membayar pampasan atas kehilangan pendapatan masa depan (“lost of future earnings”) akibat perubahan polisi awam yang dilakukan Negara tersebut.

Kerajaan perlu sedar bahawa kekhuatiran sebegini mempunyai asas kukuh, khususnya setelah amaran demi amaran dikeluarkan oleh beberapa pakar ekonomi dunia, termasuk yang mutakhir oleh Pemenang anugerah Hadiah Peringatan Nobel dalam Ekonomi (2001), Profesor Joseph Stiglitz yang menyatakan pada bulan Mei lalu bahawa: “Terdapat pelbagai kekeliruan mengenai ISDS, tetapi secara terang dan mudah: ISDS ialah cara merangka semula bagaimana ekonomi harus dikendalikan, dengan memberi lebih kuasa kepada syarikat-syarikat besar dengan mengorbankan nasib pekerja dan orang awam di sini (Amerika Syarikat) dan juga di negara lain.” Pada hakikatnya, ISDS direka untuk “mengukuhkan kedudukan syarikat-syarikat besar (corporation) dengan mengorbankan kepentingan awam.” Ini adalah asas kebimbangan yang paling nyata.

Selain itu, sikap AS terhadap penilaian kedudukan hak asasi manusia Malaysia juga membuktikan manipulasi yang boleh berlaku sekiranya kerajaan membiarkan Malaysia tunduk menyertai TPPA. Sumber media barat, Reuters melaporkan pada 8 Julai lalu bahawa Pentadbiran Presiden Barrack Obama akan mengeluarkan Malaysia dari senarai rasmi pesalah pemerdagangan manusia yang paling teruk di dunia. Di AS, tindakan ini telah dikritik kumpulan-kumpulan pejuang hak asasi manusia kerana menurut mereka akan merosakkan kredibiliti AS. Namun yang lebih dikhuatiri penulis ialah sikap manipulasi dan kepura-puraan AS mengenai penilaian mereka tentang rekod hak asasi manusia sesebuah Negara demi memperolehi peluang mencapai keuntungan perdagangan yang berat sebelah.

Apakah muslihat Presiden Obama di sebalik tindakan tersebut? Manipulasi itu akan membolehkan pentadbirannya meneruskan rundingan perjanjian perdagangan kontroversi dengan Malaysia dan 10 negara-negara Pasifik lain. Undang-undang yang dikarang oleh Senator Robert Menendez (DN.J.) dikatakan berkesan melarang AS dari menggubal perjanjian perdagangan dengan negara-negara yang dianggap “Tahap 3” melanggar piawaian perdagangan manusia – yang tercorot dalam perhitungan rasmi Jabatan Negara AS berkenaan isu “perhambaan moden”.

Secara tidak adil Malaysia telah dituduh dan disenaraikan di dalam kedudukan sebegitu, di samping Iran dan Korea Utara, dan dikatakan terlibat bertahun-tahun di dalam jenayah penyeludupan manusia, termasuk perhambaan seks yang berleluasa dan kewujudan buruh paksa dalam sektor pertanian dan industri tekstil. Tanggapan tersebut, yang diperolehi dari laporan tahun 2014 Jabatan Negara AS turut menuduh industri elektronik Malaysia dipenuhi buruh paksa.

Selanjutnya Reuters melaporkan bahawa Malaysia bakal dinaik taraf kepada “Tahap 2”, yang boleh mengenepikan larangan yang dikenakan oleh undang-undang Menendez itu. Dalam satu kenyataan kepada media, Menendez berkata gerakan itu akan menjejaskan kesahihan antarabangsa usaha hak asasi manusia AS.

Pada hakikatnya, tuduhan berat sebelah AS terhadap Malaysia, dan kemudiannya manipulasi mereka untuk mengenepikan larangan tersebut demi meneruskan rundingan TPPA jelas menzahirkan sikap mementingkan diri dan tidak bertanggungjawab terhadap Negara-negara lain. Gambaran yang dilaporkan di dalam penilaian tahunan senarai rasmi pesalah pemerdangan manusia sering dibuat berdasarkan fakta-fakta yang tidak tepat, berat sebelah serta diwujudkan semata-mata untuk menakut-nakutkan Negara-negara lain. Sekiranya mereka jujur mahu meningkatkan hubungan perdagangan dengan Negara seperti Malaysia, maka pada hakikatnya, laporan Jabatan Negara AS tersebut perlu mengambilkira secara tepat inisiatif domestik Malaysia di dalam menangani isu jenayah pemerdagangan manusia, dan bukan kerana hendak berunding mendapatkan hak perjanjian perdagangan. Penyeludupan manusia telah lama diharamkan di Malaysia. Sementara keadaan sedia wujud di Malaysia masih mempunyai ruang untuk diperbaiki, masalah jenayah pemerdagangan manusia ini perlu usaha kolektif dan berterusan kerana sebahagian besarnya melibatkan kerjasama serta upaya politik Negara-negara ASEAN.

Pada hemat penulis, perkembangan ini adalah sangat tidak sihat dan jangan kita terlalu naïf untuk meneruskan hasrat menandatangani TPPA. Bukan sahaja tindakan menilai rekod hak asasi manusia Malaysia sering dilakukan secara berat sebelah, malah seringkali Negara-negara barat tidak menghormati kedaulatan Perlembagaan Persekutuan apabila secara terang-terang menyerang kita dengan pelbagai isu. Tindakan-tindakan tersebut termasuk mempersoalkan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan (fasal 3(1) dan fasal 11(4)) khususnya di dalam isu tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama kristian, hak kebebasan beragama, hak-hak LGBT, keabsahan sistem pentadbiran undang-undang dan Mahkamah Syariah serta tuduhan-tuduhan liar terhadap penguatkuasaan prinsip nahi munkar yang diiktiraf melalui peruntukan-peruntukan di dalam enakmen-enakmen jenayah syariah di negeri-negeri. Jika perkara-perkara asas di dalam Perlembagaan Persekutuan dipersoalkan, maka tidak mustahil AS akan menuntut peruntukan–peruntukan lain di dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai hak istimewa bumiputera dan kedudukan tanah rezab Melayu diketepikan melalui medium seperti TPPA.

Sekiranya kerajaan AS tidak boleh menghormati perkara-perkara asas Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedaulatan Negara, dan terus-menerus tidak jujur apabila menyentuh rekod hak asasi manusia Negara kita, maka adakah patut kita menyertai TPPA yang terang-terangan akan menjejaskan kedaulatan dan kebebasan sistem kehakiman Negara kita? Implikasi ISDS yang jelas boleh menyebabkan kerugian besar kepada rakyat perlu menjadi sebab utama kerajaan menolak menyertai perjanjian tersebut. Jika Negara seperti Australia boleh melakukannya, mengapa Malaysia tidak boleh membuat keputusan yang tegas dan berani terhadap perkara yang sama?

Penulis percaya bahawa perdagangan di antara kedua-dua Negara akan tetap berjalan baik meskipun tanpa TPPA yang jelas diselubungi kerahsiaan dan berat sebelah untuk dijadikan suatu perjanjian perdagangan yang bermanfaat kepada pihak-pihak yang menyertainya. Penulis juga percaya bahawa kerajaan akan lebih berwaspada dan tidak terpesona dengan tindakan mereka menaikkan taraf Malaysia di dalam isu pemerdagangan manusia ini. Pada hakikatnya, muslihat seumpama ini perlu dinyahkan dengan ketegasan kerajaan untuk mempertahankan kedaulatan Negara dengan tidak terpedaya untuk menandatangani TPPA.

AZRIL MOHD AMIN ialah seorang peguam dan ketua eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s